Ekonomi Malaysia Berkembang 4.4 Peratus Suku Kedua 2025, Dipacu Permintaan Domestik Kukuh
KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus pada suku kedua 2025 bersamaan pertumbuhan 4.4 peratus pada separuh pertama 2025, didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.
Pada suku kedua 2024, ekonomi negara berkembang sebanyak 5.9 peratus.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata perbelanjaan isi rumah kekal mampan berikutan keadaan pasaran pekerja yang positif dan langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan, termasuk semakan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam.
“Pelaburan swasta dan awam mencatatkan pengembangan lebih kukuh, disokong oleh pelaksanaan projek baharu dan sedia ada.
“Dalam sektor luaran, pertumbuhan eksport lebih perlahan disebabkan terutamanya oleh eksport berkaitan komoditi yang lebih rendah. Keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih teguh dan aktiviti pelancongan yang lebih giat,” kata beliau ketika mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2025 di sini hari ini.
Pada masa yang sama, beliau berkata pertumbuhan import lebih tinggi, didorong oleh permintaan yang kukuh untuk barangan modal, yang mencerminkan aktiviti pelaburan yang lebih tinggi.
Beliau berkata dari segi penawaran, pertumbuhan didorong oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan.
“Sektor perkhidmatan disokong oleh perkhidmatan berkaitan pengguna dan kerajaan manakala pertumbuhan yang stabil dalam kelompok berorientasikan dalam negeri menyokong prestasi dalam sektor perkilangan.
“Secara keseluruhan, pertumbuhan terjejas oleh penguncupan dalam sektor perlombongan berikutan pengeluaran komoditi yang lebih rendah,” katanya.
Abdul Rasheed berkata pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, pertumbuhan berkembang sebanyak 2.1 peratus daripada 0.7 peratus pada suku pertama 2025.
Mengenai inflasi, beliau berkata inflasi keseluruhan menurun kepada 1.3 peratus manakala inflasi teras kekal stabil pada 1.8 peratus berbanding 1.5 peratus dan 1.8 peratus pada suku pertama 2025.
“Penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh harga bahan api yang lebih rendah seperti petrol RON97 dan diesel, dan peningkatan harga yang lebih perlahan bagi item berkaitan makanan khususnya makanan segar dan makanan di luar rumah,” katanya.
Abdul Rasheed berkata inflasi keseluruhan diunjurkan kekal sederhana, dengan purata antara 1.5 peratus hingga 2.3 peratus pada 2025 berikutan keadaan kos dan permintaan yang sederhana.
“Julat unjuran inflasi keseluruhan pada tahun ini disemak kepada julat yang lebih rendah berikutan prospek kos dan permintaan yang lebih sederhana berbanding unjuran pada bulan Mac 2025,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rasheed Ghaffour berkata BNM menjangkakan perkembangan tarif perdagangan akan mempengaruhi prospek global dan dalam negeri untuk baki tahun ini.
Menurutnya persekitaran luaran kekal mencabar, dengan ketidakpastian berkaitan tarif terus wujud dan kesannya akan mengambil masa sebelum benar-benar dirasai.
“Meskipun begitu, Malaysia menghadapi kesemua cabaran ini dari kedudukan yang kukuh. Ekonomi negara kekal berada pada landasan yang utuh, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, permintaan berterusan untuk barangan E&E dan struktur eksport yang pelbagai.
“Kesemua asas ini, bersama-sama dengan pembaharuan struktur yang berterusan, memastikan Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk menghadapi landskap global yang sentiasa berubah-ubah,” katanya.
Walaupun terdapat risiko luaran, Abdul Rasheed berkata pertumbuhan ekonomi disokong teguh oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, yang berfungsi sebagai penampan terhadap rintangan global.
-- BERNAMA