BNM Akan Keluarkan Draf Pendedahan Kewangan Terbuka, Muktamadkan Dasar Menjelang Tahun Depan
KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengeluarkan Draf Pendedahan mengenai Kewangan Terbuka tidak lama lagi dan memuktamadkan dasar itu menjelang tahun depan, dengan fasa pertama akan dilaksanakan secara interim, tertakluk kepada kesediaan industri dan orang awam.
Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata bank pusat melihat tokenisasi sebagai inovasi yang positif dalam sektor kewangan dengan kemungkinan impaknya melebihi pasaran modal.
“Fokus kita adalah untuk meneroka potensi manfaat dan implikasi daripada langkah tokenisasi aset sebenar dalam perkhidmatan kewangan, khususnya fungsi yang membawa manfaat nyata kepada ekonomi,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2025 di sini, hari ini.
Beliau berkata kertas perbincangan mengenai tokenisasi aset akan menetapkan pendekatan kerjasama yang dicadangkan oleh BNM, memberikan panduan dalam membangunkan fungsi tokenisasi, dan menentukan perlindungan untuk menyokong inisiatif penerokaan yang bertanggungjawab.
“Secara asasnya, yang penting adalah memastikan pelaksanaan tokenisasi memberikan nilai sebenar kepada ekonomi, dan fungsi ini menyokong aktiviti ekonomi dengan maklumat yang telus dan boleh dipercayai, serta terdapat perlindungan yang mencukupi untuk pengguna dan pelanggan.
“Ia mengenai memahami keperluan pengguna akhir ketika kita meneroka tokenisasi,” katanya.
Awal bulan ini, Abdul Rasheed mengumumkan rancangan untuk mengeluarkan draf pendedahan dan kertas perbincangan mengenai tokenisasi aset menjelang akhir tahun.
Rancangan itu susulan penerbitan Kertas Perbincangan mengenai Kecerdasan Buatan (AI), yang menetapkan pendekatan pengawalseliaan dan pembangunan oleh bank pusat, termasuk bidang keutamaan untuk kerjasama diterajui industri dan penerimagunaan AI yang bertanggungjawab dalam perkhidmatan kewangan.
Beliau berkata sistem sedia masa depan memerlukan identiti digital dan rangka kerja perkongsian data yang selamat, tadbir urus data yang kukuh, keselamatan siber yang berkesan dan asas pengawalseliaan yang membolehkan inovasi yang inklusif, bertanggungjawab dan dipercayai.
-- BERNAMA