AKPK Tawar Nasihat Kewangan Percuma Untuk Pemegang Polisi MHIT Terkesan Kenaikan Premium
KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) memperkenalkan perkhidmatan pengurusan kewangan percuma untuk membantu pemegang polisi yang terjejas disebabkan kenaikan premium pelan insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) mereka.
Dalam satu kenyataan hari ini, AKPK berkata inisiatif itu bertujuan membolehkan pemegang polisi membuat keputusan kewangan yang termaklum di samping membantu mereka mengekalkan perlindungan MHIT selaras dengan keupayaan kewangan keseluruhan mereka.
“Melalui perkhidmatan ini, penasihat kewangan AKPK akan melakukan analisis kesihatan dan keperluan kewangan untuk membantu pemegang polisi yang terjejas menentukan tahap premium yang mampu mereka tanggung, dengan potensi melaksanakan pelarasan ke atas pelan pengurusan kewangan mereka.
“Matlamatnya adalah untuk membantu pemegang polisi mengenal pasti tindakan yang boleh diambil bagi mengekalkan perlindungan MHIT mereka sambil mengurus kewangan dengan berkesan,” katanya.
Sehubungan itu, pemegang polisi boleh mengunjungi mana-mana cawangan AKPK di seluruh negara untuk bertemu dengan penasihat kewangan secara percuma.
Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Azaddin Ngah Tasir berkata agensi itu mahu memastikan pemegang polisi yang terjejas akibat semakan premium MHIT memahami semua pilihan yang ada dan tidak menamatkan atau menyerahkan polisi mereka disebabkan komitmen kewangan lain.
“Penasihat kewangan kami yang berdedikasi sedia bekerjasama rapat dengan pemegang polisi serta penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO).
“Kami akan membimbing mereka melalui proses yang berstruktur, membantu menganalisis belanjawan, menyemak perbelanjaan dan akhirnya membangunkan pelan yang mampan untuk mengekalkan perlindungan MHIT mereka,” katanya.
AKPK menekankan bahawa untuk memudahkan proses pengurusan kewangan, pemegang polisi perlu membawa surat makluman pelarasan semula harga, Soalan Lazim (FAQ) yang disertakan daripada ITO masing-masing dan penyata pendapatan semasa atau bukti pendapatan yang lain.
“Bagaimanapun, kepada pemegang polisi yang ingin mengemukakan pertanyaan secara am atau membuat aduan rasmi, dinasihatkan menghubungi ejen atau ITO masing-masing,” katanya.
-- BERNAMA