Pasaran Global Tidak Menentu, Kebimbangan Bekalan Dijangka Pengaruhi Harga Getah M'sia Minggu Depan
Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka mengalami trend bercampur-campur minggu hadapan berikutan ketidaktentuan pasaran komoditi dan kewangan global yang terus mempengaruhi niaga hadapan getah serantau, kata Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).
Menurutnya antara faktor utama yang dijangka memacu pasaran adalah tarif terkini Amerika Syarikat (AS), kadar pertukaran ringgit-dolar AS, dan naik turun harga minyak mentah sebagai penanda aras.
“MARGMA yakin bahawa tarif ini mungkin memberi isyarat kelembapan ekonomi AS memandangkan ini dijangka meningkatkan kos bahan mentah diimport.
“Selain itu, spekulasi yang semakin meningkat mengenai pelantikan Pengerusi Rizab Persekutuan AS yang baharu dijangka menyumbang kepada ketidakpastian pasaran,” katanya kepada Bernama.
MARGMA berkata peniaga akan memantau dengan teliti perkembangan berkaitan tarif perdagangan AS dan dasar kadar faedah serta ketegangan geopolitik di Timur Tengah.
Mengenai aspek bekalan, MARGMA berkata hujan lebat yang dijangka berlaku di negara pengeluar getah utama khususnya Thailand boleh menjejaskan pengeluaran.
Di Malaysia, pengeluaran getah asli meningkat sebanyak 5.9 peratus bulan ke bulan pada Jun 2025, yang menunjukkan kapasiti pengeluaran yang baik.
Menurutnya lanjutan penangguhan tarif selama 90 hari antara AS dan China di samping lonjakan eksport China sebanyak 7.2 peratus pada Julai dan pertumbuhan dalam sektor perkhidmatannya boleh memberikan sokongan kepada permintaan.
Eksport yang kukuh daripada sektor automotif China turut dilihat positif kepada pasaran getah.
Sementara itu, pakar industri Denis Low berkata pasaran dijangka diniagakan tidak berubah dengan sedikit kecenderungan menurun berikutan ketidaktentuan yang sedang berlaku.
“Industri perlu mengambil maklum bahawa dua negara paling ramai penduduk di dunia iaitu India dan China masih bergelut dengan tarif.
“China kini berada dalam tempoh penangguhan selama 90 hari manakala India berdepan tarif menyeluruh sebanyak 50 peratus.
“Apa yang dikesalkan, ketidaktentuan sedemikian boleh berlaku hanya kerana kehendak seseorang, yang menjejaskan bukan sahaja dua negara besar malah seluruh dunia,” katanya.
Low turut menekankan mengenai potensi gangguan akibat keadaan cuaca, dengan ramalan hujan lebat dan angin kencang oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dan Thailand.
“Terdapat juga ketidaktentuan yang serius dalam harga minyak dan gas yang boleh memberi kesan kepada perniagaan dan pada masa sama kekukuhan atau kelemahan mendadak dolar AS boleh menjejaskan imbangan pembayaran.
“Turun naik yang ketara ini menunjukkan keadaan tidak menentu dan mungkin memerlukan langkah berwaspada dan pada masa yang sama mewujudkan kebimbangan,” kata beliau.
Bagi asas mingguan, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 10.5 sen kepada 736.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 3.0 sen kepada 572 sen sekilogram.
-- BERNAMA