BERITA TERKINI   Pembangunan projek mega perlu angkat budaya, tamadun dan teknologi baharu untuk rakyat - PM Anwar | Seramai 478 pengamal media terima manfaat Tabung Kasih@HAWANA, jumlah sumbangan mencecah RM1.3 juta - Teo | Sebanyak 16,110 kes kandungan berita palsu diturunkan sehingga 1 Ogos lepas - Teo | Wartawan perlu terus berperanan bendung berita palsu yang semakin berleluasa - Teo | PRN Sabah: Tidak ada pertindihan kerusi di antara BN-PH - Ahmad Zahid | 

MARA Luluskan Lebih 20 Permohonan Bantuan Usahawan OKU Tahun Ini

SIBU, 15 Ogos (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah meluluskan lebih 20 permohonan bantuan daripada kalangan usahawan orang kurang upaya (OKU) di seluruh negara tahun ini, melibatkan peruntukan lebih RM500,000.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata bantuan itu disalurkan dalam bentuk geran dan pinjaman tanpa faedah sehingga RM50,000 setiap seorang, bergantung kepada keperluan perniagaan.

MARA komited membantu golongan OKU menjadi usahawan berjaya melalui ekosistem sokongan lengkap merangkumi latihan, geran, pinjaman, pemantauan dan program pembangunan perniagaan, katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di premis Duri Cendol di sini, malam tadi.

Beliau berkata Mohamad Hazemi Mat, 31, pemilik Duri Cendol, yang juga OKU bisu telah menerima pembiayaan MARA.

Perniagaan Mohamad Hazemi yang beroperasi sejak Disember 2023 itu kini mencatatkan pendapatan bulanan lebih RM35,000 di samping menggaji tujuh pekerja OKU pekak dan bisu, katanya.

Rubiah juga berkata beliau telah mengemukakan cadangan penubuhan dana khas kepada pihak MARA untuk membantu kontraktor bumiputera Sarawak yang terlibat dalam industri berteknologi tinggi dan tenaga boleh baharu.

Beliau berkata dana itu bertujuan meningkatkan bilangan usahawan bumiputera dalam sektor teknologi dan tenaga hijau, sekali gus membuka peluang perniagaan baharu di Sarawak.

“Kita perlu bawa cadangan itu kepada pengurusan MARA dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk diputuskan,” katanya.

Beliau berkata pada tahun ini sahaja, MARA telah membelanjakan lebih RM30 juta termasuk Dana NITA untuk usahawan wanita, bagi membangunkan 250 usahawan di Sarawak dalam pelbagai kategori.

-- BERNAMA