BERITA TERKINI   Piala FA: Melaka FC 0-2 Penang FC | Piala FA: Imigresen FC 2- 1 Terengganu FC | Piala FA: Bunga Raya FC 0- 6 Sabah FC | 

B. Grimm Gesa Percepat Integrasi Tenaga ASEAN, Manfaat Hidro Laos Dan Solar Malaysia

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) – Asas bagi integrasi tenaga ASEAN sudah lama dibentuk, namun tumpuan yang lebih jelas dan tindakan yang lebih pantas diperlukan bagi melonjakkan tenaga boleh baharu (TBB) ke tahap seterusnya dengan memanfaatkan kekuatan setiap negara anggota, kata B. Grimm Power Public Company Ltd.

B. Grimm merupakan konglomerat multinasional yang berakar umbi di Thailand selama 147 tahun yang mempunyai kedudukan kukuh di rantau ASEAN dengan operasi di Filipina, Kemboja, Vietnam dan Laos.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Harald Link menegaskan, Laos mempunyai sumber tenaga hidro yang luas manakala Malaysia pula mempunyai potensi tenaga solar yang banyak.

Katanya, kedua-dua kelebihan ini perlu dimanfaatkan dengan lebih meluas melalui penubuhan rangkaian grid yang lebih kukuh dan saling berhubung dari pelbagai sumber.

“Apabila kita melihat kepada grid ASEAN, setiap negara mempunyai kekuatan yang berbeza. Laos, sebagai contoh, merupakan satu-satunya negara di rantau ini yang mempunyai potensi tenaga hidro yang melimpah.

“Jadi, masuk akal untuk Laos memanfaatkan kelebihan itu dengan mengeksport tenaga elektrik ke Thailand, Malaysia dan juga Singapura sekali gus menjana pendapatan. Namun, untuk itu berlaku, grid perlu disediakan dan sambungan antara negara perlu dinaik taraf,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Temu bual itu diadakan selepas Link dikurniakan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran “Datuk Seri” sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-66 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang pada 28 Julai, 2025.

Sambungan di antara Thailand dengan Semenanjung diwujudkan dan mula beroperasi sejak Jun 2002 dengan kapasiti sebanyak 300 Megawatt (MW).

Ia dibina bagi menghubungkan Thailand dan Semenanjung melalui talian penghantaran bahagian atas HVDC 300 kV secara grid ke grid.

Sambungan sedia ada merentasi kira-kira 110 kilometer dari pencawang di Khlong Ngae, Thailand ke Gurun East di Malaysia yang disifatkan oleh Link sebagai “talian yang sangat lama.”

Mengulas mengenai peranan Malaysia dalam usaha menaik taraf grid sambungan, Link berkata, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang giat mendorong peningkatan grid sambungan berkenaan.

“B. Grimm memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang akan membeli tenaga hidro dari Laos melalui kami untuk dibawa ke Malaysia, namun MoU itu masih menunggu grid ASEAN atau grid Thailand–Malaysia untuk dinaik taraf,” kata Link.

Pada 2023, TNB memeterai perjanjian dengan tiga pemain tenaga utama di Thailand bagi membangunkan infrastruktur serantau untuk TBB.

TNB, melalui anak syarikatnya, TNB Power Generation Sdn Bhd bekerjasama dengan B. Grimm bagi meninjau peluang kerjasama dalam pembangunan projek TBB di Asia Tenggara.

Di seluruh ASEAN, jejak B. Grimm jelas kelihatan iaitu mereka mengendalikan ladang solar di Filipina dan Vietnam.

B. Grimm membina ladang solar terbesar di Asia Tenggara pada 2018 berserta rangkaian pengedaran. Di Kemboja, B. Grimm bekerjasama dengan kontraktor milik kerajaan China dan membina ladang solar kedua.

Di Laos pula, B. Grimm mengendalikan tiga loji jana kuasa hidro yang menyumbang kepada campuran TBB negara tersebut.

Mengenai campuran tenaga ASEAN, Link mencadangkan pembinaan banyak loji jana kuasa hidro di Laos dan menubuhkan grid untuk menghantar tenaga tersebut, termasuk ke Malaysia.

“Lebih logik untuk membeli tenaga berkenaan daripada menjana sendiri jika anda tidak mempunyai sumbernya. Pada masa yang sama, saya juga akan memberi tumpuan pembangunan ladang solar kerana tenaga solar merupakan sesuatu yang dimiliki Malaysia dan ia percuma,” tambahnya.

Secara keseluruhan, Link berpendapat Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN harus membawa manfaat sebenar kepada negara anggota dengan pergerakan bebas orang dan wang, serta tiada konflik wilayah.

“Seperti di Kesatuan Eropah (EU), rakyatnya tidak kisah sama ada mereka berada di Jerman, Luxembourg, Belgium atau Perancis; mereka boleh bergerak dengan bebas, mencari pekerjaan dan tinggal di mana sahaja yang mereka inginkan.

“Negara-negara kurang maju menerima dana pusat. Contohnya, Portugal dahulu sangat miskin, tetapi menerima banyak bantuan kewangan dari Brussels. Kadang-kadang mungkin timbul perselisihan, tetapi tiada apa yang bersifat merosakkan,” katanya.

Beliau turut menyimpulkan iaitu EU menjadi pemelihara keamanan yang hebat.

“ASEAN harus menyasarkan perkara yang sama. Jadi ya, saya benar-benar percaya iaitu kesatuan-kesatuan ini, sama ada ASEAN atau EU, membawa manfaat sebenar kepada setiap individu,” katanya.

-- BERNAMA