BERITA TERKINI   Cadangan serap petugas kontrak KEMAS ke jawatan harap dimasukkan dalam Belanjawan 2026 - TPM Ahmad Zahid | Felcra agih RM101 juta keuntungan kepada 74,300 peserta secara berperingkat mulai hari ini - TPM Ahmad Zahid | Felcra komersialkan padi wangi tempatan, alternatif untuk beras wangi import - TPM Ahmad Zahid | Felcra Berhad catat Keuntungan Boleh Agih Interim 1 tahun 2025 berjumlah RM178 juta - TPM Ahmad Zahid | 

Aplikasi e-Panggil Inovasi Tempatan Pertama Sabah Borneo VeGO Dilancarkan

Oleh Jailani Hasan

KOTA KINABALU, 17 Ogos (Bernama) -- Aplikasi e-panggil pertama Sabah yang dibangunkan secara tempatan, Borneo VeGO E-Pengangkutan (Borneo VeGO), kini dilancarkan secara rasmi, menandakan pencapaian baharu dalam usaha negeri ini ke arah inovasi digital dan keusahawanan dipacu komuniti.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun, yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajij Mohd Noor pada Sabtu, dengan kehadiran kalangan pemimpin koperasi, usahawan dan pihak berkepentingan masyarakat.

Pengerusi Penasihat Koperasi Usahawan Pengangkutan Borneo (KUPBB), Rosli Awang Damit berkata Borneo VeGO yang dibangunkan di bawah KUPBB itu bukan sekadar perkhidmatan pengangkutan, malah juga platform keusahawanan digital untuk memperkasakan komuniti tempatan.

“Borneo VeGO bukan hanya aplikasi e-panggil malah juga simbol kekuatan koperasi moden, dibangunkan dengan semangat kebersamaan, agihan pendapatan yang adil dan manfaat bersama.

“Dari segi fungsi, keberkesanan dan keselesaan pengguna, Borneo VeGO mampu bersaing dengan peserta global seperti Grab,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata Borneo VeGO berbeza dengan platform konvensional kerana platform itu dibangunkan untuk memastikan struktur komisen yang lebih adil serta membolehkan lebih ramai pemandu tempatan, terutama dari kawasan luar bandar, menyertai ekonomi digital tanpa bergantung kepada syarikat luar.

Rosli berkata selain pengangkutan, aplikasi itu turut meliputi penghantaran makanan dan minuman serta barang keperluan harian, sekali gus membuka peluang baharu kepada peniaga kecil, peniaga pasar malam dan usahawan makanan tradisional.

“Usaha ini akan menyuntik momentum baharu kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana di Sabah,” katanya.

Beliau berkata pelancaran itu hanya permulaan memandangkan KUPBB merancang lebih banyak kerjasama, latihan dan insentif bagi membolehkan lebih ramai rakyat Sabah mengambil bahagian dan meraih manfaat daripada transformasi digital itu.

“Walaupun pelbagai cabaran menanti namun, dengan sokongan kerajaan, kerjasama komuniti yang kukuh dan keazaman ahli koperasi kami, Borneo VeGO akan terus berkembang dan menjadi kebanggaan Sabah.

“Borneo VeGO bukan sekadar perkhidmatan e-panggil malah juga platform penyatuan yang menghubungkan penumpang dan pemandu, di samping membina ekonomi digital yang mampan untuk rakyat Sabah,” katanya.

-- BERNAMA