Felcra Catat Untung Boleh Agih RM178 Juta Bagi Projek P&P Januari Hingga April 2025 - TPM Zahid

PASIR SALAK, 17 Ogos (Bernama) -- Felcra Bhd mencatatkan keuntungan boleh agih sebanyak RM178 juta bagi Projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) dari Januari hingga April 2025, menunjukkan peningkatan daripada prestasi tahun sebelumnya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM101 juta merupakan keuntungan boleh agih interim pertama 2025 yang akan diagihkan kepada 74,300 peserta di seluruh negara secara berperingkat mulai hari ini.

“Saya mengucapkan syabas kepada Felcra kerana kejayaan mengekalkan prestasi yang baik iaitu kenaikan hampir RM2 juta daripada prestasi bagi tempoh yang sama tahun lepas,” katanya pada majlis pengisytiharan keuntungan boleh agih interim pertama 2025 projek-projek peserta Felcra di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Datuk Idris Lasim.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata Felcra terus mencipta sejarah dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara menerusi pengkomersialan Padi Felcra MRQ 107, varieti padi wangi tempatan yang menjadi alternatif berkualiti kepada beras wangi import.

Beliau berkata kawasan Seberang Perak seluas lebih 3,400 hektar yang diusahakan secara moden oleh Felcra telah menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan purata hasil mencecah lapan tan sehektar setahun.

"Kita menjangkakan pengeluaran lebih 27,000 tan padi bersamaan lebih 16,000 tan beras setahun yang mampu menampung keperluan ribuan keluarga, moga ini menjadi contoh kepada pengusaha padi lain," katanya.

Sementara itu, Idris berkata prestasi keuntungan boleh agih itu dipacu oleh beberapa faktor utama termasuk kecekapan pengurusan ladang dan pelaksanaan langkah penjimatan kos operasi.

"Melalui pendekatan efektif dalam penggunaan baja, racun dan input ladang, kos operasi turun sebanyak 15 peratus dan hasil per hektar meningkat sebanyak 49 peratus," katanya.

Beliau berkata projek kelapa sawit Felcra mencatatkan peningkatan purata keuntungan bersih sebanyak 81 peratus. 

Walaupun kadar agihan keuntungan dipengaruhi trend harga minyak sawit mentah (MSM) namun, peningkatan prestasi ladang juga mendorong pencapaian itu, katanya.

-- BERNAMA