BERITA TERKINI   Piala FA: Kelantan TRW 3-1 KL City | Piala FA: Negeri Sembilan 5-0 PDRM | Sektor pembuatan bukan sektor masa lepas - Ia adalah sektor masa hadapan - PM Anwar  | Sektor pembuatan Malaysia bersedia untuk berkembang maju dalam era baharu ini melalui kerjasama dan dasar yang tepat - PM Anwar | 

Ringgit Ditutup Rendah Menjelang Pendedahan Minit-Minit Mesyuarat FOMC Minggu Ini

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, `18 Ogos (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar US hari ini menjelang pendedahan minit-minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dalam minggu ini.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.2200/2240 berbanding 4.2085/2155 semasa ditutup pada Jumaat lepas. 

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata isyarat bercampur-campur dari pegawai Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) bersama-sama dengan data ekonomi yang agak lemah telah melonggarkan keyakinan mengenai satu lagi pemotongan kadar pada September ini.

"Setakat ini, kemungkinan pengurangan kadar titik sebanyak 25-asas pada September adalah kira-kira 84 peratus berdasarkan kontrak niaga hadapan dana persekutuan," katanya kepada Bernama. 

Minit-minit mesyuarat FOMC akan dikeluarkan pada Jumaat depan, 22 Ogos (waktu Malaysia). 

Katanya, Indeks Harga Pengeluar AS (IHP) untuk Julai yang dikeluarkan pada minggu lepas adalah jauh lebih tinggi daripada jangkaan, dengan IHP utama meningkat 3.3 peratus secara tahunan, peningkatan terbesar sejak Februari apabila IHP teras menokok 3.7 peratus.

"Oleh itu, kesannya ialah risiko inflasi akan mengehadkan kemungkinan pemotongan kadar," katanya.

Pada penutup, ringgit ditutup bercampur-campur berbanding dengan mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8632/8661 daripada 2.8653/8702. Bagaimanapun, ia merosot berbanding pound British kepada 5.7139/7193 daripada 5.7050/7145 dan lemah berbanding euro kepada 4.9290/9336 daripada 4.9185/9267 yang dicatatkan pada Jumaat lepas.

Ringgit turut didagangkan kurang bermaya berbanding mata wang ASEAN yang lain.

Berbanding dolar Singapura, ia menurun kepada 3.2902/2936 daripada 3.2820/2877 dan jatuh berbanding baht Thailand kepada 12.9942/13.0121 daripada 12.9760/13.0032.

Ringgit juga melembap berbanding peso Filipina kepada 7.40/7.42 daripada 7.37/7.39 sebelum ini dan berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 260.4/260.9 daripada 260.2/260.8.

-- BERNAMA