Tarif AS Yang Lebih Jelas, Keredaan Dalam Krisis Perdagangan Sokong Eksport Separuh Kedua
KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Panduan kadar tarif Amerika Syarikat (AS) yang lebih jelas mengenai Malaysia dan ketegangan perdagangan AS-China yang semakin mereda boleh menyokong eksport separuh kedua 2025, kata RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).
Pengurangan tarif AS ke atas Malaysia iaitu dari 25 peratus kepada 19 peratus dan perjanjian perdagangan AS-China yang dilanjutkan sehingga 10 Nov sewajarnya memberikan sokongan jangka pendek selain mampu melonjakkan sentimen pembuatan
"Kesamaan dalam kadar tarif AS di seluruh ASEAN juga dijangka terus menyokong daya saing Malaysia," katanya melalui satu nota hari ini.
Bagaimanapun, bank itu mengekalkan pandangan berhati-hati mengenai prospek perdagangan disebabkan impak tarif secara beransur-ansur akan terlihat pada tahun ini, ia mungkin akan menjejaskan sektor perdagangan dan pembuatan Malaysia.
Sementara itu, bahagian Penyelidikan Pasaran dan Perbendaharaan CIMB berkata melihat ke hadapan, prestasi perdagangan yang berdaya tahan di Asia Utara memberi isyarat potensi kesan limpahan yang positif.
"Prestasi perdagangan yang berdaya tahan di China serta Taiwan setakat Julai mencadangkan potensi kesan limpahan positif bagi ASEAN, yang akan memberi keuntungan kepada Malaysia," katanya.
Ia berpendapat bahawa keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku tahunan sepatutnya kekal melebihi 4.0 peratus dari tahun ke tahun pada separuh kedua 2025, walaupun wujud risiko kelemahan yang berpunca daripada dasar perdagangan AS yang berubah-rubah terutamanya dalam tarif semikonduktor, memandangkan elektrik dan elektronik merangkumi enam peratus daripada KDNK.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri hari ini mendedahkan bahawa prestasi perdagangan Malaysia kembali kepada pertumbuhan positif pada Julai 2025, melantun sebanyak 3.8 peratus dari tahun ke tahun kepada RM265.92 bilion, nilai perdagangan bulanan tertinggi.
Eksport meningkat sebanyak 6.8 peratus kepada RM140.45 bilion, nilai bulanan tertinggi sejak September 2022, manakala import menokok 0.6 peratus kepada RM125.47 bilion, kata kementerian itu.
-- BERNAMA