BERITA TERKINI   Sukan SEA Pekak 2025: Malaysia capai sasaran 16 pingat emas menerusi beregu campuran negara, Edmund Teo Seng Keong-Boon Wei Ying | Kementerian Pertahanan buka tender baharu sewaan empat helikopter untuk Tentera Darat – Khaled Nordin | Gegaran lemah dikesan di Segamat, Johor 6.13 pagi tadi, rakyat dinasihati jauhi struktur tidak kukuh dan patuh arahan berkuasa - MB Johor | 

AmBank Unjur Pertumbuhan Pinjaman Seiring Industri, Sasar Untung Bersih Lebih RM2 Bilion TK 2026

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- AMMB Holdings Bhd (AmBank) menjangkakan pertumbuhan pinjamannya seiring dengan kadar industri sebanyak empat peratus tahun ini, dipacu terutamanya oleh segmen perbankan perniagaan dan runcit, manakala pinjaman runcit dijangka kekal mendatar.

 Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan Jamie Ling berkata tumpuan bank akan kekal pada portfolio yang memberi pulangan yang tinggi. 

"Pinjaman perbankan perniagaan tumbuh 12 peratus tahun lepas (tahun kewangan 2025 berakhir 31 Mac, 2025) perbankan borong berkembang tujuh peratus, manakala runcit susut dua peratus susulan keutamaan kami terhadap kualiti dan pulangan berbanding penguasaan pasaran," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-34 kumpulan itu di sini hari ini.

 Beliau berkata kumpulan itu juga menyasarkan untuk mengatasi keuntungan bersih berjumlah RM2 bilion yang dicatatkan pada tahun lepas.

“Bagi suku pertama tahun kewangan semasa (suku pertama tahun kewangan 2026), kami merekodkan keuntungan bersih RM516 juta, sekali gus memastikan kumpulan berada pada landasan yang betul walaupun berdepan sentimen pelabur yang lebih lemah dan ketidaktentuan pasaran.

“Kami mahu mengatasi rekod tahun lepas. Itu adalah aspirasi kami,” katanya sambil menambah bahawa turun naik pasaran dan peluang dalam pembiayaan perniagaan serta borong mampu mengekalkan momentum prestasi.

Walaupun turun naik pasaran menandakan ketidaktentuan, katanya,  ia juga berpotensi meningkatkan hasil bahagian pasaran bank terutama dengan sokongan permintaan kukuh bagi perkhidmatan perbankan perniagaan dan borong.

Mengenai margin, AmBank mencapai margin faedah bersih (NIM) tertinggi sejak beliau mengambil alih jawatan pada November 2023 iaitu 2.01 peratus pada tahun lepas.

Bagaimanapun, berikutan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini, NIM dijangka mengecil tiga hingga empat mata asas kepada sekitar 1.96-1.97 peratus bagi keseluruhan tahun.

“Usaha tahun lepas untuk memperbaiki komposisi sumber pembiayaan telah membantu kami menampan kesan ini,” katanya.

Ling berkata kepelbagaian model perniagaan AmBank berjaya mengimbangi penurunan prestasi perbankan pelaburan dan pengurusan dana pada tahun kewangan 2025, dengan aliran projek pasaran modal dijangka pulih selepas ketidaktentuan tarif berkurangan.

Pada masa hadapan, pelan hala tuju kumpulan menjelang 2029 dijangka akan meningkatkan pulangan ekuiti kepada sekitar 11 peratus menerusi gabungan pertumbuhan hasil, pengurusan kos berdisiplin serta pelaburan dalam teknologi dan pengurusan kekayaan.

“Kami mesti meningkatkan hasil lebih pantas daripada kos sambil melabur dalam data, awan dan asas digital bagi menjamin daya saing jangka panjang,” katanya.

-- BERNAMA