Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Sejajar Dengan Keuntungan Minyak Kacang Soya
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih tinggi hari ini seiring dengan keuntungan di pasaran minyak kacang soya, kata seorang peniaga.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata prestasi eksport MSM baru-baru ini juga membantu mengangkat sentimen.
“Kami melihat sokongan harga pada paras RM4,500 (setan) dan rintangan pada RM4,680,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup, kontrak September 2025 melonjak sebanyak RM62 kepada RM4,453 setan.
Manakala, Oktober 2025, November 2025 serta Disember 2025 masing-masing naik sebanyak RM69 kepada RM4,498, RM4,529, dan RM4,546 setan.
Januari 2026 serta Februari 2026 masing-masing menokok RM66 kepada RM4,547 dan RM4,528 setan.
Jumlah dagangan bertambah kepada 67,090 lot berbanding 59,539 lot yang dicatatkan pada hari Khamis, manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 249,263 kontrak daripada 250,917 kontrak.
Harga MSM fizikal untuk September Selatan memperoleh RM40 kepada RM4,470 setan.
-- BERNAMA