Aktiviti Buru Saham Harga Rendah Pacu Bursa Malaysia Kekal Positif Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal meningkat pada tengah hari ini, didorong oleh aktiviti memburu saham-saham berharga rendah yang diterajui oleh kaunter perbankan, utiliti dan penjagaan kesihatan.
Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.49 mata kepada 1,601.96 daripada paras 1,597.47 pada akhir Jumaat lepas.
Indeks penanda aras itu dibuka mengukuh 5.35 mata kepada 1,602.82 dan berlegar dalam julat 1,600.04 hingga 1,609.65 sepanjang sesi dagangan pagi ini.
Sentimen pasaran bagaimanapun kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 467 berbanding 43 manakala 463 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,231 tidak diniagakan dan 13 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 1.66 bilion unit bernilai RM1.33 bilion.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata bursa tempatan itu dijangka menyaksikan dagangan lebih tinggi, dipacu oleh prestasi Wall Street susulan pengukuhan sektor teknologi.
"Peniaga berkemungkinan menumpukan perhatian terhadap Pekat Group Bhd dan Solarvest Holdings susulan peningkatan semula minat dalam segmen solar berikutan gesaan kerajaan terhadap tengaa boleh baharu seperti Pelan Hala tuju Peralihan Tenaga Negara, Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat dan projek Solar Berskala Besar,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik 5.0 sen kepada RM9.85, Public Bank meraih 4.0 sen kepada RM4.51, CIMB Group menokok 3.0 sen kepada RM7.49 dan Tenaga Nasional naik 14 sen kepada RM13.70 manakala IHH Healthcare susut 5.0 sen kepada RM6.79.
Bagi saham paling aktif, Mtouche Tech naik setengah sen kepada 5.0 sen dan Zetrix AI menambah 1.5 sen kepada 88.5 sen, Magma Group turun 8.5 sen kepada 22.5 sen, Tanco Holdings susut setengah sen kepada 73 sen manakala Permaju Industries tidak berubah pada 1.0 sen.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas menokok 37.09 mata kepada 11,871.65, Indeks FBMT 100 naik 39.12 mata kepada 11,650.29, Indeks FBM Emas Shariah meraih 34.63 mata kepada 11,796.05, Indeks FBM 70 melonjak 84.55 mata kepada 16,640.95 dan Indeks FBM ACE meningkat 6.73 mata kepada 4,750.35.
Dari segi prestasi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 84.65 mata kepada 18,307.61, Indeks Tenaga naik 0.65 mata kepada 749.59 dan Indeks Perladangan menambah 27.54 mata kepada 7,635.93.
Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut sebanyak 1.45 mata kepada 163.88 manakala Indeks Utiliti turun 10.11 mata kepada 1,767.89.
-- BERNAMA