Kementerian Ekonomi Sedang Teliti 27 Cadangan Projek Bernilai RM880.57 Juta Di Rasah Di Bawah RMK13

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Kementerian Ekonomi sedang meneliti untuk memuktamadkan sebanyak 27 cadangan projek pembangunan baharu bernilai RM880.57 juta bagi Parlimen Rasah, Negeri Sembilan di bawah Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah yang menjawab bagi pihak Kementerian Ekonomi berkata setiap permohonan projek dinilai secara holistik berdasarkan impak sosioekonomi, keperluan setempat, keupayaan pelaksanaan dan keseimbangan pembangunan wilayah.

“Penilaian ini turut mengambil kira keutamaan strategik negara dalam memastikan pembangunan yang inklusif dan mampan di seluruh negara, keterangkuman rakyat, nilai untuk wang serta sejajar dengan keutamaan nasional yang digariskan dalam RMK13,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang ingin mengetahui mengenai senarai projek bernilai RM50 juta dan ke atas di Parlimen Rasah dalam RMK13 dan kriteria pemilihannya.

Hasbi berkata di bawah Rolling Plan 5 Tahun 2025 RMK12, kerajaan telah meluluskan sebanyak 334 projek pembangunan melibatkan pelbagai kementerian di Negeri Sembilan dengan kos keseluruhan RM11.54 bilion dan peruntukan RM1.28 bilion.

“Daripada jumlah tersebut, 28 projek pembangunan telah diluluskan khusus bagi Parlimen Rasah dengan kos keseluruhan RM924.43 juta dan peruntukan RM103.71 juta. Sebanyak 16 projek dalam peringkat prapelaksanaan manakala 12 projek dalam pelaksanaan,” katanya.

Antara projek itu ialah menaik taraf Institut Latihan Keselamatan Perlindungan Malaysia Fasa 2 dengan kos RM63.97 juta, menaik taraf kerja-kerja mekanikal dan elektrikal Hospital Tunku Jaafar (RM172.26 juta), Rancangan Tebatan Banjir Sungai Batang Labu (RM67.1 juta) serta Perolehan Peralatan Perubatan dan bukan perubatan serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi bagi Projek Pembinaan Pusat Kawalan Penyakit Negara (RM178.02 juta).

-- BERNAMA