BERITA TERKINI   Liga Super: Selangor 5-2 Terengganu | Liga Super: KL City 3-1 PDRM | Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | 

Keuntungan Bersih Alliance Bank Melonjak 12.5 Peratus Kepada RM198.69 Juta

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Alliance Bank Malaysia Bhd melonjak sebanyak 12.5 peratus kepada RM198.69 juta pada suku pertama yang berakhir 30 Jun 2025 berbanding RM176.65 juta yang dicatatkan dalam tahun sebelum ini.

Bank itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini memberitahu pertumbuhan keuntungan bersihnya telah didorong oleh peningkatan dalam pendapatan bagi suku tersebut selepas mengambil kira elaun yang lebih tinggi untuk jangkaan kerugian kredit dan perbelanjaan operasi.

Hasil bagi suku menokok kepada RM615.32 juta daripada RM539.77 juta tahun ke tahun. 

Pendapatan faedah bersih bank naik 7.4 peratus kepada RM499.0 juta berbanding RM464.7 juta yang disaksikan semasa suku yang sama sebelum ini, didorong oleh jumlah pinjaman yang lebih tinggi, manakala margin faedah bersih berada pada paras 2.42 peratus.

Pendapatan bukan faedah Alliance Bank meningkat 54.9 peratus kepada RM116.3 juta, disumbangkan daripada yuran perdagangan serta jualan pertukaran asing yang lebih tinggi, pendapatan perbendaharaan dan pelaburan yang kukuh termasuk peningkatan dalam yuran perkhidmatan perbankan.

Nisbah kos kepada pendapatannya turut menyaksikan kenaikan kepada 45.1 peratus daripada 48.0 peratus dalam suku pertama tahun kewangan 2025. 

"Momentum pinjaman keseluruhan diteruskan dengan pertumbuhan 9.9 peratus dari tahun ke tahun, dengan pengembangan yang luas merentasi semua segmen perniagaan," kata bank itu.

Pinjaman perusahaan kecil dan sederhana bertambah sebanyak 9.6 peratus, pinjaman pengguna meningkat 11.2 peratus, pinjaman komersil naik 10.9 peratus dan pinjaman korporat mencatatkan lonjakan sebanyak 3.3 peratus.

Alliance Bank berkata deposit pelanggannya mengukuh 12.5 peratus dari tahun ke tahun sambil mengekalkan salah satu nisbah CASA tertinggi dalam industri iaitu pada 38.0 peratus.

Kos kredit bersih suku pertama tahun kewangan 2026 berjumlah 14.4 mata asas, mencerminkan peruntukan yang berhemat, manakala nisbah liputan kerugian pinjaman bank kekal sihat pada 113.3 peratus.

Bank itu berkata ia diperkukuhkan dengan modal yang baik dengan nisbah Tahap Ekuiti Bersama (CET1) sebanyak 12.4 peratus dan nisbah modal 16.9 peratus.

"Nisbah liputan kecairan adalah 162.6 peratus, dengan nisbah dana pinjaman pada 87.2 peratus," katanya.

-- BERNAMA