BERITA TERKINI   Gempa bumi lemah berukuran 2.5 berlaku di Segamat pada 7.56 malam, gegaran dirasai sekitar Johor - MetMalaysia | 

Kapasiti Operasi Pusat Data Di Johor Berpotensi Capai Sehingga 5,000 MW Pada 2029 - Fitch Ratings

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Agensi penarafan kredit, Fitch Ratings menjangka pertumbuhan pusat data yang pesat di Johor, dengan kapasiti operasi berpotensi mencapai sehingga 5,000 megawatt (MW) pada 2029.

Ketua Penarafan Infrastruktur dan Kewangan Projek Asia Pasifik Sajal Kishore berkata pertumbuhan kapasiti yang berpotensi di Johor adalah besar, mencatatkan kira-kira 1,400 MW pada 2024 berbanding 10 MW pada 2021 berikutan sumber dan jaraknya yang berdekatan dengan Singapura.

“Johor mempunyai sumber penting seperti tanah, air dan tenaga. Semua ini ditawarkan pada kos yang jauh lebih rendah. Gabungan ini mengurangkan perbelanjaan operasi dan menjadikan negeri ini sebagai lokasi menarik untuk pelaburan berskala besar.

“Kami memantau Johor yang berperanan dengan berkesan sebagai destinasi ‘Singapore-plus-one’. Jarak pergi balik dari Singapura ke Johor adalah kurang daripada 90 kilometer, menghasilkan latensi yang amat rendah dengan hanya satu hingga dua milisaat, amat sesuai untuk pengkomputeran awan,” katanya pada webinar “Fitch Approach for Data Centre (APAC)” hari ini.

Bagaimanapun, Sajal berkata Malaysia mula menunjukkan tanda-tanda awal kekangan, dengan perbincangan meningkat di negara ini mengenai implikasi daripada pertumbuhan ini.

“Kebimbangan utama ialah sejauh mana Malaysia mendapat manfaatnya berdasarkan banyak rakan niaga utama berpangkalan di Singapura.

“Ini telah mencetuskan perbincangan sama ada negara perlu membangunkan lokasi alternatif selain Johor. Melihat ke hadapan, kami menjangka negara akan berdepan kekangan bekalan berikutan permintaan yang terus meningkat,” katanya.

Johor muncul sebagai hab pelaburan pusat data utama di Malaysia dengan 42 projek bernilai RM164.45 bilion diluluskan sehingga suku kedua 2025, mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan. 

Ia turut mengunjurkan akan menempatkan enam peratus daripada kapasiti pusat data Malaysia menjelang 2030.

-- BERNAMA