MITI Yakin ASEAN Akan Capai Persetujuan Penuh Muktamadkan DEFA Akhir Tahun Ini -Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yakin ASEAN akan mencapai persetujuan penuh untuk memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) pada penghujung tahun ini.
Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ini susulan rundingan yang telah merekodkan kemajuan sebanyak 69.6 peratus.
Menurutnya, pencapaian itu menjadi fokus semasa beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) untuk membincangkan tentang DEFA.
“Saya yakin, dengan semangat ASEAN, kita akan mencapai persetujuan substansial sepenuhnya pada penghujung tahun ini.
“DEFA ini bukan hanya tentang perdagangan digital, tapi juga untuk memastikan ekonomi digital yang inklusif dan saksama untuk semua,” katanya menerusi hantaran di laman sosial X beliau hari ini.
Tengku Zafrul berkata DEFA akan membawa ASEAN ke hadapan untuk menjadi hab digital serantau, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi.
-- BERNAMA