ASEAN Sedia Teraju Ekonomi Kreatif Global

JOHOR BAHRU, 2 Sept (Bernama) -- ASEAN berada di landasan untuk menjana ekonomi digital bernilai US$1 trilion (RM4.32 trilion) menjelang 2030, dipacu golongan belia, bakat serta permintaan pasaran, kata Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Beliau berkata kelebihan rantau ini bukan sahaja terletak pada saiz demografinya malah juga kesiapsiagaan digital dan potensi kreatif.

ASEAN dihuni 680 juta penduduk, menjadikannya pangkalan pengguna internet ketiga terbesar di dunia, dengan lebih separuh penduduknya berusia di bawah 35 tahun, katanya.

“Angka ini memberi gambaran jelas ASEAN bukan sekadar mempunyai angka penduduk yang ramai malah juga golongan muda, bakat dan permintaan pasaran untuk menerajui ekonomi kreatif global,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Kandungan Digital ASEAN (ADCS) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, Selasa.

Wilson Ugak berkata generasi muda ASEAN yang kreatif dan jati digital membesar dalam dunia yang dijana teknologi dan kini berada di barisan hadapan dalam kepesatan ekonomi digital yang dijangka melonjak kepada US$1 trilion (RM4.32 trilion) menjelang 2030 daripada US$300 bilion (RM1.27 trilion) pada masa ini.

“Dalam industri permainan video sahaja, Asia Tenggara menjana perolehan US$6 bilion pada 2024, mengukuhkan kedudukan kita sebagai pasaran permainan video yang berkembang paling pesat di dunia,” katanya.

Beliau berkata industri animasi global bernilai US$400 bilion kini semakin mengiktiraf pencipta dari ASEAN.

Bagaimanapun, diingatkan bakat dan jumlah penduduk semata-mata tidak mencukupi kerana keperluan kerjasama rentas sempadan juga sama penting untuk memaksimumkan impak ASEAN di pentas global, katanya.

“Peluang besar hadir bersama dengan cabaran. Kreativiti secara sendirian hanya mengekang kejayaan dan tidak mencukupi untuk mencapai matlamat akhir. Dalam dunia yang saling terhubung hari ini, kerjasama adalah faktor kejayaan,” katanya.

Wilson Ugak berkata dalam dunia masa kini, kandungan bukan sekadar hiburan malah juga kuasa besar yang mendorong perdagangan, pendidikan, diplomasi dan budaya.

“Kandungan membentuk naratif, menghubungkan masyarakat dan memacu ekonomi. Dalam landskap global, ASEAN menyerlah sebagai kuasa besar yang menawarkan peluang yang amat luas,” katanya.

Beliau berkata untuk bersaing di peringkat global, ASEAN mesti bersatu -- berkongsi bakat, sumber dan platform untuk melonjakkan keberkesanan bersama.

Mengenai sidang kemuncak itu, beliau berkata ADCS 2025 tidak hanya sebuah acara malah platform untuk mencetuskan idea, menempa kerjasama dan membentuk masa depan ekonomi kreatif ASEAN.

ADCS 2025 menghimpunkan lebih 3,000 profesional industri dari Asia, Amerika Syarikat dan Eropah, sekali gus memperkukuh ekosistem digital ASEAN dan meletakkan rantau ini sebagai kuasa besar kreatif global.

Sidang kemuncak selama tiga hari itu, dirasmikan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengetengahkan lebih 10 pavilion negara termasuk dari Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Jepun, Kemboja dan Vietnam, selain 50 penceramah berpengaruh dan lebih 100 pempamer inovatif.

Antara inti pati acara termasuk Meja Bulat ASEAN mengenai Kerjasama Kandungan Digital, Kre8tif! Business Xchange, juruanimasi terkemuka Jepun Koji Morimoto sebagai penceramah utama, serta pelbagai pameran kreatif terbuka kepada orang ramai.

-- BERNAMA