Ekonomi Malaysia 2025 Diunjur Tumbuh 4.3 Peratus Walaupun IP Susut, Cabaran Luar

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada 4.3 peratus bagi 2025, didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan selain kestabilan pasaran tenaga kerja walaupun indeks pelopor (IP) susut pada Jun, kata MBSB Research.

Dalam tinjauan ekonomi bulanannya bagi Ogos 2025, cabang penyelidikan pelaburan MBSB Investment Bank Bhd itu berkata unjuran berkenaan disemak naik daripada unjuran awal 4.0 peratus, namun pada masa sama faktor luaran kekal memberi risiko.

“Kami kekal mengunjurkan pertumbuhan Malaysia menyederhana tahun ini kepada 4.3 peratus dalam 2025 daripada 5.1 peratus pada 2024.

“Ini sekali gus menyemak naik sedikit unjuran awal 4.0 peratus berikutan permintaan domestik yang mengatasi jangkaan serta daya tahan perdagangan luar didorong oleh aktiviti penghantaran awal serta eksport semula yang lebih kukuh,” katanya.

IP yang menjejaki prospek ekonomi bagi tempoh enam bulan hingga sembilan bulan akan datang, susut 0.5 peratus tahun ke tahun pada Jun yang memaparkan penyederhanaan momentum manakala Indeks Serentak (IS) yang mengukur keadaan ekonomi semasa, meningkat 2.7 peratus.

Dalam suku kedua 2025, ekonomi berkembang 4.4 peratus tahun ke tahun atau tidak berubah daripada suku sebelumnya namun susut sedikit daripada unjuran lanjut 4.5 peratus.

Pertumbuhan itu disokong oleh penggunaan akhir swasta (5.3 peratus), pelaburan modal tetap kasar (12.1 peratus) dan perbelanjaan kerajaan (6.4 peratus).

Jumlah perdagangan Malaysia pula meningkat sebanyak 3.8 peratus pada Julai 2025 iaitu pemulihan pertama sejak Mac dengan eksport meningkat 6.8 peratus, import naik sedikit sebanyak 1.5 peratus manakala lebihan dagangan berjumlah RM70.3 bilion.

“Di sebalik kelemahan berterusan eksport perlombongan yang menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global, Malaysia turut mendapat manfaat daripada aktiviti penghantaran awal serta peningkatan permintaan global bagi elektrik dan elektronik (E&E) serta produk teknologi,” katanya.

MBSB Research berkata indeks pengeluaran perindustrian tumbuh 3.0 peratus pada Jun 2025, melepasi unjuran pasaran 1.0 peratus yang disokong oleh output pembuatan (3.6 peratus) dan penjanaan elektrik (2.8 peratus).

Bagi pasaran tenaga kerja, kadar pengangguran kekal pada 3.0 peratus dalam Jun -- terendah dalam tempoh 10 tahun walaupun kadar pengangguran belia berusia 15-24 tahun masih tinggi pada 12.9 peratus.

“Jumlah individu yang menganggur terus susut kepada 519,000 (Mei 2025: 522,000) yang juga paras terendah sejak Februari 2020,” katanya.

Kadar inflasi keseluruhan indeks harga pengguna Malaysia meningkat sedikit kepada 1.2 peratus pada Julai berbanding 1.1 peratus pada bulan sebelumnya susulan kenaikan kos bukan makanan manakala inflasi teras kekal stabil pada 1.8 peratus.

Di peringkat pengeluar, harga terus susut dengan deflasi sebanyak 3.8 peratus.

Dalam pada itu, ringgit mengukuh sebanyak 1.0 peratus pada Ogos apabila ditutup pada paras 4.225 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), disokong oleh data ekonomi lebih kukuh serta kelemahan mata wang dolar berkenaan.

Bagi kemajuan masa depan, MBSB Research mengingatkan faktor luaran yang mencabar terus berisiko memberi tekanan terhadap prestasi Malaysia.

“Walaupun permintaan domestik akan terus menyokong pertumbuhan secara berterusan, risiko penurunan itu sebaliknya masih ada, terutama daripada ketidaktentuan luaran seperti peningkatan tarif oleh AS dan ketegangan geopolitik,” katanya.

-- BERNAMA