BERITA TERKINI   KPT sedia bawa pulang pelajar Malaysia di Indonesia jika rusuhan semakin meruncing - Zambry | 

Aerotrain KLIA Kembali Beroperasi 24 Jam Selepas Penyelenggaraan Dua Minggu

PUTRAJAYA, 3 Sept (Bernama) -- Perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali beroperasi 24 jam selepas selesai kerja-kerja penyelenggaraan berjadual, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Izani Ghani dalam kenyataan berkata kerja-kerja penyelenggaraan dari 18 hingga 31 Ogos itu telah dijalankan antara 12 tengah malam dan 5 pagi setiap hari tanpa menjejaskan pergerakan penumpang.

Katanya bas ulang-alik telah memastikan perjalanan lancar antara bangunan terminal utama dan bangunan satelit sepanjang tempoh tersebut.

Mohd Izani berkata langkah itu dijalankan untuk menambah baik responsif dan kebolehpercayaan sistem itu berdasarkan data operasi yang dikumpul sejak pelancaran aerotrain pada 1 Julai 2025.

Katanya kontraktor Alstom turut menguji perisian isyarat aerotrain yang terkini semasa kerja-kerja penyelenggaraan berjadual itu.

“Aerotrain merupakan penghubung penting dalam operasi KLIA dan kumpulan komited untuk memastikan kebolehpercayaannya. Siapnya kerja-kerja berjadual ini mencerminkan fokus kami terhadap kecemerlangan perkhidmatan dan memastikan pengalaman perjalanan yang lancar di lapangan terbang.

“Kami akan terus melabur dalam infrastruktur yang menyediakan tahap kebolehpercayaan, keselamatan dan keselesaan yang lebih baik untuk semua penumpang,” katanya.

Malaysia Airports mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turkiye. KLIA, sebagai lapangan terbang utama syarikat, antara hab penerbangan pilihan di rantau ini. 

-- BERNAMA