BERITA TERKINI   Bekas Ketua Bernama Radio Allahyarham Azlan Idris diumum penerima Anugerah Khas HAWANA 2026 | Bekas Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman diumum penerima Anugerah HAWANA 2026 | Peruntukan Dana Inovasi Media diteruskan, RM24.57 juta disalur kepada 72 syarikat setakat ini- PM Anwar | TV3 dinobat Juara manakala Bernama ialah Naib Juara Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 | PM Anwar umum peruntukan tambahan RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA | 

Pengurangan Kadar Dana Persekutuan AS Akan Tingkatkan Ringgit, Pasaran Ekuiti Malaysia

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Jangkaan pengurangan Kadar Dana Persekutuan (FFR) Amerika Syarikat (AS) memberi petanda baik kepada ringgit dan bertindak sebagai pemangkin untuk pasaran ekuiti Malaysia, menurut CGS International Securities Sdn Bhd.

Firma itu dalam satu nota penyelidikan percaya kemungkinan pengurangan FFR dalam mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) yang akan datang berupaya mengecilkan jurang antara FFR dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia.

“Hipotesis ini paling jelas ditunjukkan oleh ringgit yang melonjak 11.3 peratus pada suku ketiga (S3) 2024 – menjelang pemotongan kadar pertama pascapandemik oleh Fed pada September 2024 – dengan FBM KLCI turut mengikutinya (+7.3 peratus daripada paras terendah dalam tempoh itu).

“Selain itu, kami berpendapat jurang kadar faedah yang mengecil juga positif untuk pasaran saham Malaysia memandangkan terdapat korelasi songsang sebanyak -41 peratus antara FBM KLCI dan FFR-OPR,” katanya.

Sementara itu, CGS International telah menaikkan sasaran akhir tahun FBM KLCI kepada 1,690 mata daripada 1,670 mata sebelum ini selepas menentukur semula purata lima tahun FBM KLCI dan melanjutkan jangkaan penilaian (dari akhir 2025 kepada pertengahan 2026).

“Selepas musim keputusan kewangan suku kedua 2025, kami kini mengunjurkan pertumbuhan pendapatan FBM KLCI sebanyak 4.0 peratus/7.2 peratus untuk 2025/2026 daripada 5.4 peratus/7.3 peratus sebelum ini,” tambahnya.

-- BERNAMA