SARA Pacu Ekonomi Domestik, Limpahan Manfaat Turut Dinikmati Peruncit Kecil - MOF
KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bukan sekadar meringankan beban rakyat malah juga memangkinkan aktiviti ekonomi domestik apabila limpahan manfaatnya turut dinikmati peruncit kecil dan pembekal tempatan.
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan (MOF) Datuk Zamzuri Abdul Aziz berkata lebih RM2 bilion diperuntukkan tahun ini kepada 22 juta penerima dewasa justeru setiap ringgit yang dibelanjakan memberi kesan gandaan besar terhadap rantaian bekalan.
“Setiap RM1 yang dibelanjakan boleh menghasilkan nilai sehingga RM2.43 apabila dikongsi dalam rantaian perniagaan, daripada pekedai kecil hingga pengeluar tempatan. Ini kesan ekonomi sebenar yang kita mahu lihat,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV pada Rabu.
Beliau berkata lebih 7,300 premis di seluruh negara terlibat, hampir 2,000 daripadanya terdiri daripada peruncit kecil termasuk di kawasan luar bandar.
“Apabila stok bergerak laju, peniaga kecil mendapat pusingan modal lebih pantas, pembekal tempatan pula mendapat tempahan baharu. Ekonomi komuniti setempat bergerak serentak,” katanya.
Zamzuri juga menasihatkan penerima supaya merancang pembelian sepanjang tempoh sehingga 31 Disember, mengelakkan waktu puncak dan memanfaatkan bantuan mengikut keperluan.
“Contohnya barangan sekolah boleh dibeli apabila hampir musim persekolahan. Tempoh panjang ini memberi ruang kepada rakyat untuk mengatur keperluan masing-masing,” katanya.
Beliau turut menggalakkan kalangan yang tidak memerlukan supaya membeli dan menyumbangkan barangan tersebut kepada pihak berautoriti seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau melalui pakej komuniti yang disediakan pasar raya.
Kerajaan mengumumkan penghargaan SARA bernilai RM100 secara “one-off” untuk semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas, melibatkan kira-kira 22 juta rakyat dengan jumlah keseluruhan RM2 bilion.
Bantuan itu boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos hingga 31 Dis, 2025 di lebih 7,300 premis seluruh negara sekali gus memberi banyak pilihan lokasi dan masa untuk rakyat membeli barangan keperluan.
SARA boleh digunakan untuk membeli 14 kategori barangan keperluan asas iaitu beras, roti, telur, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman, makanan dalam tin, bahan perasa, produk kebersihan diri, barang kebersihan rumah, ubat-ubatan dan barang keperluan sekolah.
MOF turut menggalakkan rakyat untuk merujuk laman web rasmi SARA di http://www.sara.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.
-- BERNAMA