Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari, Indeks Komposit Cecah Paras Terendah Harian
Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi dagangan pagi pada Khamis, dengan indeks penanda aras mencatatkan paras terendah harian selepas kaunter wajaran tinggi terpilih mengalami dagangan tidak menentu berikutan prestasi serantau yang bercampur-campur.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.49 mata kepada 1,577.03 daripada 1,578.52 ketika ditutup semalam.
Indeks itu dibuka 1.40 mata lebih tinggi kepada 1,579.92, dan kemudiannya meningkat untuk mencecah 1,581.89 semasa dagangan pagi.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 475 berbanding 313, manakala 475 kaunter tidak berubah, 1,295 kaunter tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 1.40 bilion unit bernilai RM1.08 bilion.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pergerakan FBM KLCI menunjukkan wujudnya minat belian secara sporadik namun tidak dapat mengekalkan aliran meningkat yang kukuh.
Bagaimanapun, indeks petunjuk pasaran itu ditutup sedikit tinggi pada Rabu menjelang cuti hujung minggu yang panjang bermula Jumaat.
“Sehubungan itu, kami menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,575 hingga 1,585 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, IHH Healthcare turun satu sen kepada RM6.90, Public Bank kekal pada RM4.26, Maybank naik empat sen kepada RM10.02, CIMB Group menambah satu sen kepada RM7.24, dan Tenaga Nasional menokok dua sen kepada RM13.12.
Antara saham aktif, Sime Darby kurang satu sen kepada RM2.05, Eco-Shop Marketing turun tiga sen kepada RM1.34, Zetrix AI dan DNeX masing -masing kekal pada 87 sen dan 24.5 sen manakala Tanco Holdings naik satu sen kepada 81 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 16.48 mata kepada 11,710.05; Indeks FBMT 100 turun 16.13 mata kepada 11,479.39 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 26.49 mata kepada 11,681.13.
Indeks FBM 70 susut 46.54 mata kepada 16,442.86 manakala Indeks FBM ACE turun 14.25 mata kepada 4,739.84.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 3.06 mata kepada 18,075.03, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.61 mata kepada 162.88, Indeks Tenaga kurang 3.43 mata kepada 746.49, dan Indeks Perladangan susut 1.43 mata kepada 7,604.46.
-- BERNAMA