Malaysia Sasar Pelbagaikan Rantaian Bekalan Dalam Sektor Semikonduktor
KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Malaysia menyasarkan untuk mempelbagaikan rantaian bekalan dalam sektor semikonduktor demi memastikan pelaburan asing dan tempatan kekal kukuh dan berdaya tahan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata dalam konteks baharu, Malaysia bersama Singapura dan Vietnam adalah rantaian bekalan menarik untuk pelabur asing dan tempatan berlandaskan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang dilancarkan pada Mei 2024.
"Kita (Malaysia) telah bergerak daripada era 'just in time' kepada era 'just in case' bermaksud syarikat-syarikat antarabangsa berhasrat untuk wujudkan lebih banyak rantaian bekalan berbeza berbanding dulu, mereka hanya ada satu rantaian bekalan.
"Pada masa sama, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) semasa rundingan perjanjian perdagangan timbal balas (dengan Amerika Syarikat) telah memberi penjelasan kepada AS bahawa eskport Malaysia saling melengkapi rantaian bekalan dan membincangkan pertimbangan AS untuk beri pengecualian kepada produk Malaysia yang tidak dihasilkan atau dikeluarkan di AS," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Datuk Nelson W Angang yang ingin tahu usaha diambil atau dipertimbangkan oleh pihak kerajaan untuk memastikan keyakinan terhadap pelabur dan pemain industri semikonduktor tidak terkesan akibat ketidaktentuan tarif dari AS.
Terdahulu, Liew juga menegaskan MITI bekerjasama dengan badan industri utama seperti Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) dan US-ASEAN Business Council untuk memastikan tindakan responsif serta maklum balas dapat disalurkan dengan berkesan.
Beliau berkata MITI sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan pelabur AS di Malaysia, badan pemikir dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan.
Pada 15 Ogos, 2025, Presiden AS Donald Trump telah memberi bayangan bahawa produk semikonduktor dan farmaseutikal mungkin dikenakan tarif tambahan.
“Kerajaan AS sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 232 Akta Perluasan Perdagangan 1962, tarif khusus terhadap produk-produk berkenaan mungkin dikenakan oleh AS.
"Keputusan siasatan ini dijangka akan diumumkan sebelum bulan Disember 2025,” katanya.
Liew berkata eksport farmaseutikal ke AS pada 2024 adalah RM3.04 bilion dan import farmaseutial dari AS adalah RM11.77 bilion iaitu 3.8 kali lebih banyak berbanding eksport ke AS.
Dalam pada itu, eksport semikonduktor ke AS bernilai kira-kira RM56.2 bilion mewakili sekitar 14.5 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport semikonduktor Malaysia manakala kadar tarif timbal balas AS ke atas Malaysia adalah pada kadar 19 peratus, produk semikonduktor dan farmaseutikal dikecualikan.
-- BERNAMA