BERITA TERKINI   Bekas Ketua Bernama Radio Allahyarham Azlan Idris diumum penerima Anugerah Khas HAWANA 2026 | Bekas Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman diumum penerima Anugerah HAWANA 2026 | Peruntukan Dana Inovasi Media diteruskan, RM24.57 juta disalur kepada 72 syarikat setakat ini- PM Anwar | TV3 dinobat Juara manakala Bernama ialah Naib Juara Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 | PM Anwar umum peruntukan tambahan RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA | 

Peluang Dalam Sektor Pembinaan Di Malaysia Kekal Banyak - RHB IB

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Terdapat banyak peluang dalam sektor pembinaan di Malaysia yang dipacu oleh permintaan untuk pusat-pusat data (DC) di samping pelaksanaan projek-projek bukan DC, kata RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).

Bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya hari ini berkata nilai bagi kerja-kerja pembinaan yang dilaksanakan meningkat 13 peratus tahun ke tahun kepada RM43.9 bilion yang merupakan satu rekod pada suku kedua 2025.

“Segmen DC dijangka kekal aktif. Tenaga Nasional telah menandatangani lima perjanjian bekalan elektrik untuk tujuh projek DC di negara ini dengan gabungan jumlah permintaan elektrik sebanyak 733 megawatt (MW) pada 2025 setakat 15 Ogos,” katanya.

RHB IB berkata Johor sahaja memiliki kira-kira 1,473 MW kapasiti DC teknologi maklumat yang telah komited, menurut laporan sorotan pasaran DC Byte, manakala Kuala Lumpur mempunyai 960 MW kapasiti DC yang dirancang, berdasarkan laporan separuh pertama Asia Pacific DC Market Dynamics 2025 oleh Jones Lang LaSalle Incorporated.

Selain itu, bank pelaburan berkenaan menganggarkan tanah seluas 157 hektar di Port Dickson yang diperuntukkan untuk pembangunan DC milik Pearl Computing Malaysia boleh menampung kapasiti DC antara 500 MW hingga 1.0 gigawatt.

Ia turut menekankan terdapat sejumlah besar projek-projek bukan DC yang sedang dalam perancangan.

Ia berkata projek berkaitan sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat di Johor (anggaran kos: RM6-7 bilion) dijangka diumumkan menjelang akhir tahun, dengan tiga konsortium dipercayai telah mengemukakan cadangan kepada unit kerjasama awam-swasta kerajaan.

Projek-projek utama lain termasuk tender bagi kerja-kerja sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang (dianggarkan bernilai RM3-4 bilion), yang dijangka diumumkan pada separuh kedua 2025, manakala tender bagi Segmen 2 LRT Pulau Pinang menghubungkan Komtar dan Penang Sentral (dianggarkan bernilai RM5-6 bilion) berkemungkinan diiklankan pada Oktober, tambahnya.

Sehubungan itu, RHB IB mengekalkan saranan ‘overweight’ ke atas sektor berkenaan.

-- BERNAMA