Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Khamis selepas Indeks Dolar AS (DXY AS) naik 0.1 peratus kepada 98.245 mata walaupun laporan kekosongan pekerjaan di Amerika Syarikat (AS) lebih rendah daripada jangkaan, kata penganalisis.
Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.2260/2320 daripada 4.2230/2285 semasa ditutup pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata perhatian pasaran kini tertumpu pada laporan Perubahan Pekerjaan ADP, yang mengukur pewujudan pekerjaan sektor swasta di AS, dengan jangkaan konsensus sebanyak 65,000 pekerjaan baharu pada Ogos berbanding 104,000 pada bulan sebelumnya.
“Tuntutan Pengangguran Awal dijangka naik sedikit kepada 230,000 minggu lepas daripada 229,000 pada minggu sebelumnya. Oleh itu, peniaga dan pasaran boleh bersetuju bahawa petunjuk ekonomi AS lemah semakin jelas,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata alasan untuk penurunan kadar faedah kini menjadi lebih kukuh, dengan harga niaga hadapan menunjukkan lebih daripada 90 peratus kemungkinan untuk penurunan kadar.
“Bagaimanapun, dolar AS dilihat mengukuh. Oleh itu, peniaga dan pelabur dijangka lebih berhati-hati berikutan data senarai gaji bukan ladang (NFP) berkemungkinan memberikan kejutan positif pada Jumaat ini,” katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama.
Ia meningkat berbanding euro kepada 4.9203/9273 daripada 4.9223/9287, bagaimanapun merosot berbanding yen kepada 2.8489/8531 daripada 2.8430/8469 dan berbanding pound kepada 5.6793/6874 daripada 5.6614/6687.
Berbanding mata wang ASEAN, ringgit juga kebanyakannya rendah kecuali mengukuh sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.2775/2824 daripada 3.2777/2822 sebelum ini.
Mata wang tempatan merosot berbanding baht Thailand kepada 13.0666/0908 daripada 13.0529/0759, rendah berbanding rupiah kepada 257.3/257.7 daripada 257.2/257.7 dan susut berbanding peso kepada 7.40/7.42 daripada 7.37/7.38.
-- BERNAMA