ACCCIM Gesa Langkah Cukai Bersasar Dalam Belanjawan 2026 Bagi Pacu Produktiviti, Inovasi PKS

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) menggesa langkah cukai bersasar dalam Belanjawan 2026, termasuk rebat cukai pendapatan korporat bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan ambang pendapatan bercukai lebih tinggi sebanyak RM1 juta pada kadar 15 peratus bagi PKS terpilih.

Langkah itu boleh membantu meningkatkan sumber bagi pelaburan semula dalam kemahiran, produktiviti dan inovasi, katanya dalam satu kenyataan mengenai penemuan Tinjauan Keadaan Perniagaan dan Ekonomi Malaysia (M-BECS) setengah tahun terbaharunya.

Dalam tinjauan mengenai prestasi perniagaan bagi Januari- Jun 2025 (S1 2025) dan unjuran bagi Julai- Disember 2025 (S2 2025) itu, responden menyenaraikan ‘pembiayaan dan pembinaan kapasiti PKS’ sebagai keutamaan Belanjawan 2026. Lebih separuh (56.3 peratus) daripada responden memilihnya sebagai bidang tumpuan.  

“Langkah berkaitan cukai turut dinyatakan dengan jelas, dengan kredit cukai dan insentif pelaburan (55.9 peratus) selain pembaharuan cukai yang kondusif (53.1 peratus) berada antara kedudukan teratas yang perlu diberi keutamaan oleh kerajaan dalam kalangan perniagaan,” kata ACCCIM.

Presiden ACCCIM Datuk Ng Yih Pyng menekankan bahawa mengekalkan kadar cukai pendapatan korporat yang kompetitif di Malaysia adalah penting untuk merapatkan jurang cukai dengan rakan serantau.

“Thailand dan Vietnam masing-masing mengenakan kadar cukai korporat sebanyak 20 peratus, kadar cukai semasa di Indonesia ialah 22 peratus dan sedang mempertimbangkan untuk mengurangkannya kepada 20 peratus, manakala kadar cukai di Singapuran kekal pada 17 peratus,” katanya.

Ng berkata bagi menjadikan sistem cukai dan kawal selia di Malaysia lebih kompetitif dan mesra perniagaan, kerajaan boleh melaksanakan pembaharuan yang memudahkan pematuhan, mengurangkan kos, dan meningkatkan ketelusan untuk meningkatkan daya saing kos di Malaysia di peringkat dunia sambil memacu inovasi dan pelaburan.

Sementara itu, kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur digital menjadi keutamaan bagi perbelanjaan dan pelaburan Belanjawan 2026, seperti yang diundi oleh 44 peratus responden.

Menurut kenyataan itu lagi, ini menunjukkan keperluan untuk melengkapkan perniagaan, terutama PKS, dengan peralatan AI bagi mengekalkan daya saing.

Menurut ACCCIM, mekanisme sokongan yang lebih kukuh diperlukan untuk mengatasi halangan penerimaan digital, seperti kekurangan kemahiran, jurang pembiayaan dan akses yang terhad kepada teknologi.

Justeru, organisasi itu mencadangkan supaya program sedia ada dipertingkatkan seperti Geran Digital, termasuk menyediakan peruntukan yang lebih besar, dan membolehkan beberapa tuntutan berbanding dihadkan sekali sahaja ketika ini, untuk memberi lebih banyak sokongan kepada PKS.

Tinjauan terbaharu M-BECS itu dijalankan antara 10 Julai dan 11 Ogos 2025 dan mendapat 777 maklum balas. 

-- BERNAMA