Grab Cadang Perkenal "Carri", Rapat Jurang Kecerdasan Digital Dan Operasi Logistik Sebenar
Daripada Karina Imran
JAKARTA, 8 April (Bernama) -- Syarikat e-hailing dan penghantaran terkemuka di Asia Tenggara, Grab bercadang memperkenalkan robot automasi fizikal “Carri” untuk merapatkan jurang antara kecerdasan digital dan operasi logistik sebenar.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan dan pengasas bersama Anthony Tan berkata Carri tidak menggantikan pemandu atau rakan penghantaran, sebaliknya berfungsi sebagai alat tambahan dengan kecekapan tinggi untuk mereka.
“Pemandu kami hilang masa kira-kira 10 peratus untuk menjana pendapatan kerana terpaksa mencari lokasi restoran di pasar raya besar atau menunggu pelanggan turun daripada bangunan pejabat tinggi.
“Jika robot kecil ini dapat menguruskan tugas berkenaan dengan mencari lokasi restoran dan kemudian menyerahkan pesanan itu kepada pemandu, langkah ini membolehkan mereka meneruskan segera tugas seterusnya.
“Pendekatan ini adalah langkah seterusnya untuk kami membantu rakan penghantaran bukan sahaja untuk bertahan dalam perubahan dunia, malah untuk berkembang maju,” katanya pada acara produk tahunan syarikat, GrabX 2026, di sini hari ini.
Selain robot, Tan berkata Grab turut bercadang untuk memindahkan “lapisan kecerdasan” syarikat dalam perkakasan fizikal untuk menghasilkan kenderaan autonomi dan kamera litar tertutup.
Langkah ini boleh mengukuhkan komitmen syarikat untuk menjadi platform berteraskan kecerdasan buatan (AI) dengan pendekatan berorientasikan nilai kemanusiaan, memastikan AI memberi manfaat kepada semua, termasuk masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan di seluruh Asia Tenggara, katanya.
“Kami membawakan “lapisan kecerdasan” kami daripada sistem awan ke dunia nyata. Dengan merealisasikan “lapisan kecerdasan,” kami membuka peluang untuk membantu rakan penghantaran menyelesaikan tugas menggunakan kaedah baharu melalui automasi fizikal,” kata Tan.
Pada acara GrabX tahun lepas, Grab memperkenalkan “MAI,” pembantu AI untuk peniaga, dan memperluas usaha AI dengan memperkenalkan pembantu AI untuk pemandu iaitu “Coach”.
“Sepertimana MAI, Coach diwujudkan berdasarkan falsafah ‘AI-First with Heart,’ yang menyaksikan kami menggunakan teknologi canggih dan digunakan secara praktikal oleh manusia untuk menyelesaikan masalah sebenar,” katanya.
Grab bekerjasama dengan OpenAI untuk pembangunan Coach, dan lebih 500,000 pemandu kini menggunakan Coach.
“Kami akan memperluas penggunaannya kepada jutaan rakan penghantaran lain,” katanya.
-- BERNAMA