Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih tinggi hari ini selepas disokong oleh pembelian tawar-menawar dan pengukuhan di pasaran minyak sayuran global, kata Ketua Penyelidik Komoditi Sunvin Group dari Mumbai, Anilkumar Bagani.

Bagaimanapun, keuntungan telah dihadkan oleh ketiadaan pembelian destinasi, stok yang mencukupi di pasaran utama India selain ketidakpastian mengenai prospek perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

“Tambahan pula, jangkaan simpanan bekalan minyak sawit Malaysia yang lebih tinggi di samping lonjakan dalam pengeluaran telah mengehadkan kenaikan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata pertumbuhan pengeluaran yang lebih perlahan daripada jangkaan turut menyokong harga.

“Kami melihat sokongan pada RM4,380 setan dan rintangan pada RM4,530 setan,” katanya.

Pada penutup, kontrak September 2025 meningkat sebanyak RM9 kepada RM4,371 setan, Oktober 2025 naik RM8 kepada RM4,412 setan dan November 2025 menokok RM6 kepada RM4,448 setan.

Kontrak Disember 2025 bertambah RM3 kepada RM4,475 setan, Januari 2026 serta Februari 2026, masing-masing menyaksikan peningkatan sebanyak RM5 kepada RM4,490 dan RM4,482. setan.

Jumlah dagangan mencatatkan kenaikan kepada 73,897 lot berbanding 67,415 yang disaksikan semasa Rabu manakala kepentingan terbuka lebih rendah pada 252,812 kontrak daripada 253,198 sebelum ini.

Harga MSM fizikal untuk September Selatan kekal tidak berubah pada RM4,400 setan.

Pasaran akan ditutup pada Jumaat, 5 Sept sempena dengan cuti umum Mauliden Rasul. Operasi disambung semula pada Isnin depan.

-- BERNAMA