BERITA TERKINI   Ops Sky: SPRM telah lengkapkan siasatan, 20 pegawai bank akan didakwa pada akhir September atau awal Oktober - Azam Baki | Siasatan terhadap Tun Mahathir masih berjalan, SPRM sedang dapatkan maklumat terperinci daripada pihak UK - Azam Baki | Tiada aktiviti eksplorasi mineral di Sabah, SPRM tamatkan siasatan kes Farhash - Azam Baki | Siasatan Ops Sohor selesai, empat individu akan didakwa - Azam Baki | Kes Ismail Sabri: Wang tunai RM170 juta yang disita akan dimasukkan ke akaun kerajaan - Azam Baki | 

Unit Reservoir Link Peroleh Kontrak EPCC RM60.2 Juta

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Reservoir Link Energy Bhd (RLEB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, RL Sigma Engineering Sdn Bhd, telah memperoleh kontrak berjumlah RM60.2 juta daripada Sage Promaster Sdn Bhd bagi membina kemudahan rawatan sisa.

RLEB berkata RL Sigma telah dianugerahkan kontrak siap guna kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) menerusi surat lantikan (LOA) bertarikh 27 Ogos 2025. 

“LOA akan bermula 27 Ogos 2025 dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan menjelang 26 Feb, 2026,” kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini. 

Katanya, skop kerja termasuk reka bentuk dan membekalkan kemudahan rawatan sisa dengan keupayaan automasi untuk memproses sehingga 15,000 tan bahan sisa berjadual yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Produk proses rawatan ialah Safefuels, bahan api alternatif proprietari yang direka untuk menjana tenaga boleh baharu setanding dengan bahan api konvensional yang digunakan dalam simen dan loji kuasa,” katanya. 

RLEB berkata kontrak itu berdasarkan jumlah sekali gus tetap untuk keseluruhan kerja, dengan tempoh liabiliti kecacatan 24 bulan dari tarikh pengeluaran sijil siap praktikal.

Beliau berkata kontrak dijangka tidak memberi kesan ke atas modal saham syarikat atau struktur pegangan saham.

Bagaimanapun, kontrak dijangka memberi sumbangan positif kepada perolehan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026,” katanya. 

Sementara itu, lembaga pengarah berkata penerimaan kontrak tersebut adalah demi kepentingan terbaik syarikat. 

-- BERNAMA