FBM KLCI Kukuh Pada Tengah Hari, Pasaran Menyeluruh Kekal Positif
KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia meningkat 0.54 peratus pada tengah hari manakala pasaran secara keseluruhan turut kekal dalam wilayah positif apabila pelabur menjejaki prestasi bursa serantau selepas minggu yang perlahan, dengan menumpukan kepada kaunter terpilih.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 8.57 mata kepada 1,586.72 daripada 1,578.15 semasa ditutup pada Khamis lepas.
Indeks berkenaan memulakan sesi dagangan dengan 3.07 mata lebih kukuh pada 1,581.22 dan diniagakan antara 1,579.57 dan 1,587.10 semasa sesi pagi.
Keyakinan dalam pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter untung mendahului kaunter rugi sebanyak 463 berbanding 399 manakala 472 kaunter tidak berubah, dengan 1,234 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 1.15 bilion unit bernilai RM815 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran tempatan menjejaki pasaran serantau selepas tempoh yang agak perlahan minggu lepas, tetapi jumlah dagangan kekal di bawah tara.
"Jumlah itu dianggap rendah, menjadikannya lebih mudah untuk mendorong pasaran lebih tinggi, terutamanya berikutan kekurangan peserta pasaran," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional muncul antara kaunter paling untung secara keseluruhan, menambah 32 sen kepada RM13.38, Petronas Chemicals meningkat 19 sen kepada RM4.39, Maybank menokok lima sen kepada RM10.04 manakala YTL Power naik tujuh sen kepada RM4.11.
Bagi kaunter aktif, Tanco naik tiga sen kepada 82.5 sen, JAKS dan Velesto masing-masing menokok satu sen kepada 11 sen dan 21.5 sen manakala Pharmaniaga dan NexG masing-masing naik setengah sen kepada 18.5 sen dan 48.5 sen.
Antara kaunter paling untung adalah Nestle, yang menambah RM1.76 kepada RM95.00, diikuti PPB Group yang meningkat 30 sen kepada RM9.90, Far East menokok 27 sen kepada RM4.30 dan Pentamaster naik 17 sen kepada RM3.68.
Antara kaunter paling rugi adalah Panasonic Manufacturing Malaysia yang susut 26 sen kepada RM8.99 dan Alianz Malaysia berkurangan 18 sen kepada RM18.18.
Di papan indeks yang lebih luas, Indeks FBM Emas meningkat 53.25 mata kepada 11,768.54, Indeks FBMT 100 menambah 51.55 mata kepada 11,535.71, dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 63.49 mata kepada 11,739.01.
Indeks FBM 70 naik 26.15 mata kepada 16,460.86 manakala Indeks FBM ACE menambah 0.61 mata kepada 4,739.34.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 53.02 mata kepada 18,167.46, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.31 mata kepada 164.30, Indeks Perladangan menambah 28.46 mata kepada 7,632.89 manakaka Indeks Tenaga susut 2.32 mata kepada 741.30.
-- BERNAMA