Belian Saham Modal Besar, Prestasi Serantau Pacu Bursa Naik 0.47 Peratus

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan hari ini dengan meningkat sebanyak 0.47 peratus ketika pelabur menumpukan minat ke atas saham-saham syarikat bermodal besar selain seiring prestasi pasaran serantau.

Pada 5 petang ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meraih 7.44 mata kepada 1,585.59 daripada paras 1,578.15 pada akhir dagangan Khamis lepas. 

Pasaran ditutup pada Jumaat bersempena cuti umum Maulidur Rasul.

Terdahulu hari ini, indeks penanda aras itu dibuka mengukuh 3.07 mata kepada 1,581.22 dan diniagakan dalam julat 1,579.57 hingga 1,587.16 pada sesi dagangan.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 548 berbanding 434 manakala 524 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,062 tidak diniagakan dan lapan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.15 bilion unit bernilai RM1.94 bilion daripada 2.32 bilion unit bernilai RM2.30 bilion, Khamis lepas.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen optimis dalam pasaran turut didorong oleh perkembangan berkaitan data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah, sekali gus hanya mengukuhkan lagi jangkaan negara maju itu akan menurunkan kadar faedahnya pada bulan ini.

“Kalangan pelabur kekal optimis terhadap jangkaan Rizab Persekutuan AS (Fed) menurunkan sekurang-kurangnya 25 mata asas dalam mesyuarat 16-17 September walaupun tumpuan minggu ini terarah kepada data inflasi pengguna AS yang penting,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pergerakan Bursa Malaysia dengan indeks utamanya berjaya menawan semula paras 1,585 dan kini dalam usaha menepis aliran penurunan yang dilihat pada akhir 2024 hingga awal 2025.

“Bagaimanapun, jumlah dagangan secara relatifnya kekal suram yang menunjukkan walaupun persekitaran teknikal adalah konstruktif, penyertaan pelabur yang kukuh sememangnya penting dalam mengekalkan momentum kenaikan.

“Adalah diharapkan aliran peningkatan ini akan menarik lebih banyak pelabur ke pasaran, meningkatkan jumlah dagangan serta mengukuhkan lagi pergerakan itu,” katanya.

Indeks petunjuk utama itu juga dijangka bergerak dalam julat 1,570-1,600 bagi dagangan minggu ini.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing naik satu sen kepada RM10 dan RM4.28, Tenaga Nasional meningkat 26 sen kepada RM13.32, IHH Healthcare menokok satu sen kepada RM6.92 manakala CIMB Group susut tiga sen kepada RM7.27.

Pharmaniaga muncul kaunter paling aktif pada akhir urus niaga hari ini apabila meningkat 1.5 sen kepada 19.5 sen dan diikuti oleh NexG dan Jaks yang masing-masing naik satu sen kepada 49 sen dan 11 sen, Tanco meningkat 1.5 sen kepada 81 sen manakala Velesto meraih satu sen kepada 21.5 sen.

Saham pengguna terus menerajui pasaran secara menyeluruh dengan Nestle naik 76 sen kepada RM94.00 dan diikuti oleh Petronas Dagangan menokok 34 sen kepada RM22.14 dan PPB menambah 30 sen kepada RM9.90.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 46.73 mata kepada 11,762.02, Indeks FBMT 100 meraih 43.08 mata kepada 11,527.24 manakala Indeks FBM Emas Shariah melonjak 60.03 mata kepada 11,735.55.

Indeks FBM 70 menambah 12.74 mata kepada 16,447.45 dan Indeks FBM ACE susut 30.23 mata kepada 4,768.96.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 11.62 mata kepada 18,126.06, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menambah 1.76 mata kepada 164.75, Indeks Perladangan menokok 31.93 mata kepada 7,636.36 namun Indeks Tenaga turun 3.30 mata kepada 740.32.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama naik sedikit kepada 1.29 bilion unit bernilai RM1.75 bilion daripada 1.24 bilion unit bernilai RM2.09 bilion pada Khamis lepas.

Perolehan waran merosot kepada 596.79 juta unit bernilai RM91.02 juta daripada 723.44 juta unit bernilai RM108.28 juta sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan menguncup kepada 262.34 juta unit bernilai RM100.3 juta daripada 363.27 juta unit bernilai RM96.72 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang kepada 208.85 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (184.78 juta), pembinaan (119.46 juta), teknologi (185.48 juta), perkhidmatan kewangan (62.11 juta), hartanah (136.03 juta), perladangan (27.88 juta), REIT (29.20 juta), dana tertutup (32,100), tenaga (85.36 juta), penjagaan kesihatan (165.16 juta), telekomunikasi dan media (22.69 juta), pengangkutan dan logistik (26.58 juta), utiliti (32.91 juta) dan amanah perniagaan (156,300).

-- BERNAMA