BERITA TERKINI   Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dalam protes di Nepal | 

Kerajaan Mahu TVET Lahir Pekerja Mahir Tempatan, Penuhi Keperluan Industri

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Kerajaan mahu pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dilatih di negara ini memenuhi keperluan industri sekali gus menggalakkan industri menggunakan tenaga tempatan berkemahiran.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan juga mahu graduan TVET menjadi pekerja yang ditawarkan dengan gaji premium dan tinggi.

"Pada masa yang sama, kita mahu pelaburan langsung asing (FDI) yang masuk ke Malaysia tidak perlu membawa pekerja-pekerja daripada negara asal mereka atau dari negara lain bagi menjadi tenaga berkemahiran di sini," kata beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian selepas mempengerusikan Sesi Perbincangan Meja Bulat bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, beliau berkata lima keputusan ditetapkan antaranya meminta GLC dan GLIC menyatakan bidang kemahiran yang diperlukan mengikut guna tenaga atau tenaga pekerjaan bagi menyesuaikan kursus-kursus dan kurikulum yang dibuat oleh institusi TVET di negara ini.

Keduanya iaitu memutuskan kursus-kursus yang diadakan mesti dirunding terlebih dahulu supaya Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dapat melakukan pengiktirafan terhadap kursus-kursus yang dijalankan.

"Ketiganya, kita juga memutuskan supaya tindakan susulan dilakukan termasuk mengemukakan program-program TVET khas dalam kalangan banduan dan juga penagih di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) supaya mereka juga menjadi tenaga yang berkemahiran dalam bidang-bidang tertentu," kata beliau.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata seramai 436,000 pelajar kini sedang mengikuti kursus di institusi TVET berbanding 407,000 pada tahun sebelumnya.

Kata beliau, ini tidak termasuk pengambilan yang sedang dijalankan pada masa ini iaitu kira-kira 229,000 permohonan diterima daripada 76,000 pemohon di 1,398 institusi TVET.

Keseluruhan perbelanjaan bagi TVET di 12 kementerian sebanyak RM8.7 bilion dan beliau berharap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meningkatkan belanjawan bagi TVET pada tahun hadapan.

Sesi perbincangan meja bulat ini dianjurkan susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Julai, 2025 yang bersetuju supaya GLC dan GLIC memainkan peranan lebih aktif dalam memberi peluang latihan kepada pelajar TVET.

Langkah ini penting bagi membolehkan TVET di Malaysia beralih daripada model yang dipacu oleh kerajaan kepada model yang dipacu oleh industri.

Sesi tersebut bertujuan menyelaraskan penglibatan GLC dan GLIC dalam memperkasa TVET dengan memberi tumpuan kepada empat dimensi utama.

Ini termasuk pelaburan langsung dalam pembangunan TVET; penglibatan strategik dalam reka bentuk kurikulum; penyediaan peluang latihan industri, biasiswa dan penempatan kerja serta penerajui inisiatif kerjasama berimpak tinggi.

Sebanyak 14 GLC, satu GLIC serta lima agensi kerajaan selain lapan institusi TVET hadir pada sesi berkenaan termasuk Petroliam Nasional Bhd, Prasarana Malaysia Bhd, Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Bhd dan Malaysia Aviation Group manakala Khazanah Nasional Bhd mewakili GLIC. 

Turut serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta agensinya seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia serta institusi TVET seperti politeknik, kolej vokasional, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), GiatMARA dan Universiti DRB-HICOM. 

-- BERNAMA