UMW Toyota Motor Catat Jualan 62,246 Unit Kenderaan Setakat Ogos 2025

SHAH ALAM, 8 Sept (Bernama) -- UMW Toyota Motor (UMWT) mencatat jualan kukuh pada Ogos 2025 menerusi penghantaran sebanyak 9,083 unit kenderaan dan menjadikan 62,246 unit telah dijual setakat tahun ini.

Dalam kenyataannya, UMWT menyifatkan prestasi itu sebagai membuktikan permintaan kukuh dan konsisten terhadap jenama Toyota di Malaysia, didorong oleh pendekatan pelbagai hala yang menawarkan penyelesaian elektrifikasi dan pada masa sama mengekalkan barisan model yang diyakini serta menepati gaya hidup harian.

Toyota telah mencatatkan penjualan sebanyak 859,865 kenderaan di Malaysia selama lebih sedekad lepas iaitu 2015 hingga Ogos 2025.

Angka itu juga, kata UMWT, memaparkan populariti berterusan jenama berkenaan serta bukti keyakinan pemandu tempatan terhadap Toyota.

Presidennya, Datuk Ravindran K berkata fokus syarikat tidak hanya merangkumi kualiti kenderaan tetapi turut memastikan aspek mobiliti yang kekal bermakna serta akses untuk semua, merentasi setiap peringkat kehidupan daripada perjalanan seharian sehingga pencapaian keluarga.

“Sejak berdekad-dekad lamanya, rakyat Malaysia meletakkan kepercayaan terhadap Toyota dan inilah yang terus menjadi inspirasi kami. Hubungan berpanjangan ini memaparkan komitmen kami terhadap mobiliti untuk semua dan bagaimana untuk terus menggerakkan dunia anda.

“Inilah semangat sama untuk perpaduan dan kemajuan yang diraikan bersama dengan negara ini bersempena Merdeka kali ini,” katanya.

Seiring sambutan kemerdekaan itu, UMWT menawarkan promosi eksklusif sepanjang September 2025, termasuk penjimatan sehingga RM5,000 bagi model terpilih selain tawaran menarik di pusat pameran Toyota di serata negara ini.

Menurut kenyataan itu, pemilik kenderaan Toyota juga berpeluang menikmati penjimatan jangka pajang menerusi ‘Toyota Service Savers’ -- program penyelenggaraan prabayar bermula serendah RM31 sebulan.

Ini termasuk tawaran penjimatan sehingga 10 peratus ke atas komponen dan kos upah tenaga kerja serta perlindungan terhadap sebarang kenaikan harga di masa depan.

-- BERNAMA