BERITA TERKINI   Mindef teliti tawaran beberapa negara selesai isu peluru berpandu antikapal dari Norway - Mohamed Khaled | Hubungan kukuh industri pertahanan Malaysia-Turkiye didorong pertukaran pengetahuan dan pemindahan teknologi - Mohamed Khaled. | Sebahagian besar kandungan melibatkan penipuan dan judi dalam talian disebarkan menerusi Facebook - Fahmi | 91 peratus kandungan media sosial minta diturunkan adalah berkaitan scam dan judi dalam talian - Fahmi | Raja Permaisuri Agong sempurnakan penamaan, pelancaran Kapal Misi Pesisir TLDM, Tunku Laksamana Abdul Jalil di Istanbul hari ini | 

Dewan Negara Lulus Pindaan Undang-undang Anti-lambakan, Lindungi Industri Tempatan

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan (Pindaan) 2025, yang bertujuan memperkukuh perlindungan terhadap industri tempatan daripada amalan perdagangan tidak adil dari negara luar.

RUU berkenaan dibentang bagi bacaan kali kedua dan ketiga oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong.

Liew berkata pindaan kepada RUU ini penting bagi menangani isu lambakan produk konvensional yang dijual lebih murah di Malaysia berbanding harga di negara pengeluar sendiri.

“Selain itu, ia turut menyasarkan import yang diberikan subsidi tidak adil oleh negara pengeluar dan kemudiannya dijual di Malaysia dengan harga lebih rendah, sekali gus memudaratkan pengeluar tempatan.

“Pentingnya pindaan undang-undang ini supaya siasatan dapat dibuat dan tindakan boleh dilaksanakan. 

"Walaupun sebelum ini kita sudah ada undang-undang, tetapi ia tidak mencukupi,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU tersebut yang dibahaskan oleh lima ahli Senator di Dewan Negara hari ini.

Beliau juga menjelaskan MITI telah melancarkan sistem pengurusan siasatan remedi perdagangan (TRIMA) untuk memudah cara proses pengemukaan petisyen oleh pengeluar tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dalam pelaksanaan siasatan duti anti-lambakan dan timbal balas, katanya, kerajaan tidak mengenakan sebarang kos terhadap industri tempatan, sebaliknya hanya memerlukan mereka mengisi borang selidik serta mengemukakan bukti secara digital melalui sistem TRIMA.

“Ini dilaksanakan demi kelangsungan industri tempatan. Kerajaan juga menyediakan khidmat nasihat teknikal dan bimbingan untuk membantu PKS termasuk industri hiliran meningkatkan pemahaman mengenai langkah-langkah anti-lambakan serta timbal balas.

“Perkhidmatan kerajaan dari segi melaksanakan tindakan-tindakan amalan perdagangan adalah untuk semua pengeluar tempatan dari pelbagai sektor dan tidak terhad kepada sektor besi dan keluli,” katanya.

Bagi isu lambakan melalui e-dagang, katanya, kawalan dan penguatkuasaan dilaksanakan menerusi dasar percukaian serta kerjasama agensi berkaitan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, serta Kementerian Kewangan.

-- BERNAMA