ASEAN Tawar Peluang Luas Untuk Pelaburan Berimpak Tinggi - Gabenor BNM
KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- ASEAN menawarkan peluang yang luas untuk pelaburan berimpak tinggi berikutan peneraju dalam sektor perniagaan dan kerajaan cenderung ke arah integrasi serantau yang lebih baik, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata tahun lepas, dengan Malaysia mempengerusikan ASEAN, rantau ini telah menyaksikan minat yang amat tinggi bukan sahaja dalam perdagangan, malah terhadap pelaburan dan kerjasama strategik.
“Premium risiko yang meningkat di Barat disebabkan perubahan landskap geopolitik dan hubungan dagangan baharu, bersama-sama dengan trajektori pertumbuhan Asia Tenggara, menjadikan pasaran kita semakin menarik.
“Sebahagian pasaran di rantau ini boleh menjadi platform permulaan yang selamat: ia mendepani cabaran yang sama dalam kalangan negara ASEAN lain tetapi mempunyai kestabilan dan sistem kewangan yang dapat mengurangkan risiko dalam inovasi dan Malaysia adalah satu daripadanya,” katanya dalam ucaptama pada AVPN Global Conference 2025 di Hong Kong hari ini.
AVPN merupakan rangkaian pelabur sosial dan berimpak terbesar di Asia menyasarkan untuk memacu modal ke arah pelaburan berimpak tinggi untuk perubahan sosial di seluruh rantau ini.
Abdul Rasheed berkata ASEAN memainkan peranan utama dalam pertumbuhan ekonomi Asia berikutan ia menjadi sumber pertumbuhan yang stabil dalam dunia yang semakin tidak menentu dan multipolar.
“Hari ini, ASEAN menjadi ekonomi kelima terbesar dunia dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih US$3.9 trilion dan dijangka melebihi US$5 trilion sebelum 2030 (US$1=RM4.20). Ini menjadikan ASEAN berada di kedudukan selepas Amerika Syarikat, China dan Jerman menjelang akhir dekad ini.
“Menyokong momentum ini ialah populasi yang meningkat sebanyak 670 juta orang, dengan umur median 30 tahun. ASEAN dijangka menambah lebih 130 juta pengguna kelas pertengahan,” katanya.
ASEAN telah menunjukkan daya tahan dalam pertumbuhannya, dengan KDNK berkembang pada purata 4.8 peratus sepanjang dua dekad yang lepas walaupun menghadapi krisis kewangan, pandemik dan perubahan dalam orde dunia.
“Daya tahan inilah yang menjadikan ASEAN berada di tengah-tengah rantaian bekalan global, daripada komoditi pertanian kepada semikonduktor serta sumber semula jadi kepada bidang baharu dalam bateri,” katanya.
Asia menyumbang lebih 60 peratus daripada pertumbuhan global, dengan perdagangan antara Asia kini melebihi perdagangan antara Asia dan seluruh dunia. Ini dijangka meningkat sebanyak US$400 bilion setahun dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
-- BERNAMA