BERITA TERKINI   Dakwaan 30,000 pelajar masuk universiti awam ikut pintu belakang satu tuduhan berat - Zambry | RTM mohon maaf atas gangguan teknikal ketika siaran langsung separuh masa pertama perlawanan Piala Dunia antara Perancis dan Senegal | 13 individu termasuk pengarah, bekas pengarah sebuah agensi kerajaan ditahan kerana disyaki terima rasuah kira-kira RM2.5 juta - SPRM | Malaysia, Tatarstan lihat potensi perluas kerjasama pelbagai bidang termasuk pendidikan, industri halal - PM Anwar | Rektor UIAM Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2026 | 

MBSB IB Jangka Pertumbuhan IPP Malaysia Sederhana Kepada 2.0 Peratus Pada 2025

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- MBSB Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia kepada sederhana kira-kira 2.0 peratus tahun ini berbanding 3.7 peratus tahun lepas.

Bank pelaburan itu menerusi nota hari ini berkata unjuran berkenaan berikutan kemungkinan kesan tarif yang lebih tinggi ke atas perdagangan luar dan pengeluaran produk eksport.

“Aktiviti menambah belian lebih awal, peningkatan semula dalam eksport semula serta pertambahan permintaan domestik yang berterusan akan mengekalkan pertumbuhan IPP dalam kadar positif.

“Di peringkat domestik, kami menjangka peningkatan perbelanjaan tempatan dan aktiviti perniagaan dalam negeri akan terus merangsang pengeluaran barangan berorientasikan domestik,” katanya.

Bank pelaburan itu juga menjangka pengeluar dan pengeksport tempatan akan terus memantau risiko kelembapan permintaan luaran terutama daripada pasaran utama seperti Amerika Syarikat dan China, yang boleh menjejaskan aktiviti pengeluaran dan keputusan pengambilan pekerja mereka.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan IPP bertambah baik kepada 4.2 peratus tahun ke tahun pada Julai 2025 selepas merekodkan pertumbuhan sederhana 2.9 peratus pada bulan sebelumnya.

-- BERNAMA