BERITA TERKINI   Kerajaan Persekutuan akan terus buka ruang perbincangan secara harmoni dan saling hormat bersama Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah - PM Anwar | PM Anwar rakam penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah atas kerjasama erat zahir MA63 secara adil | Kerajaan MADANI paling giat, banyak selesaikan perkara berhubung MA63 hasil kesungguhan, muafakat semua pihak - PM Anwar |  PM setuju secara prinsip mempertimbangkan penambahan kerusi Parlimen Sabah, Sarawak, perlu rundingan lanjut SPR - TPM Fadillah |  PM setuju secara prinsip penambahan kerusi Parlimen Sabah, Sarawak, perlu rundingan lanjut SPR - TPM Fadillah | 

Jualan Perdagangan Borong, Runcit Pada Julai Naik 5 Peratus Kepada RM156.4 Bilion

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Perdagangan borong dan runcit Malaysia pada Julai 2025 mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM156.4 bilion, dengan pertumbuhan lima peratus tahun ke tahun, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh subsektor borong dan runcit. 

“Subsektor perdagangan borong merekodkan jualan sebanyak RM70.1 bilion, peningkatan 5.4 peratus tahun ke tahun manakala perdagangan runcit naik 5.6 peratus, mencatatkan pertumbuhan yang kukuh dengan jualan sebanyak RM67.0 bilion.

“Subsektor kenderaan bermotor merekod jualan sebanyak RM19.3 bilion, peningkatan sederhana 1.6 peratus tahun ke tahun,” katanya.

Mohd Uzir berkata seiring dengan pertumbuhan perdagangan borong dan runcit, transaksi pembayaran digital terus berkembang pada Julai 2025, sekali gus menyokong aktiviti runcit.

Transaksi wang elektronik melonjak sebanyak 69.8 peratus tahun ke tahun kepada RM22.8 bilion, manakala pembayaran menerusi platform pembayaran runcit masa nyata (RPP) meningkat kepada RM311.5 bilion, mencerminkan kecenderungan pengguna bagi transaksi yang lebih pantas dan lancar.

“Transaksi FPX juga meningkat 23.4 peratus kepada RM41.4 bilion sejajar dengan peningkatan penggunaan perbankan dalam talian. Perbelanjaan kad kredit kekal stabil pada RM18.8 bilion dan penggunaan kad debit naik sebanyak 5.4 peratus kepada RM13.3 bilion.

“Secara keseluruhan, aliran ini menunjukkan peningkatan kaedah pembayaran digital dan mengukuhkan peralihan Malaysia ke arah ekonomi tanpa tunai,” katanya.

Sementara itu, mengenai prestasi mengikut subsektor, Mohd Uzir berkata perdagangan borong terus berkembang dengan kukuh pada Julai 2025, dengan lain-lain pengkhususuan perdagangan runcit merekodkan peningkatan empat peratus tahun ke tahun kepada RM25.8 bilion, didorong oleh jualan petrol, diesel, pelincir, bahan binaan, perkakasan dan peralatan paip yang lebih tinggi

Mengulas mengenai prestasi subsektor perdagangan runcit, beliau berkata jualan runcit di kedai meningkat sebanyak 5.5 peratus tahun ke tahun kepada RM25.8 bilion, terutamanya disokong oleh peningkatan jualan di kedai pengkhususan, pasar mini, gedung serbaneka dan pasaraya.

Jualan runcit dalam talian turut mencatatkan pertumbuhan menggalakkan pada Julai, dengan indeks jualan runcit dalam talian meningkat 5.8 peratus tahun ke tahun. Ini mencerminkan kecenderungan berterusan pengguna terhadap platform beli-belah digital. Pada asas bulan ke bulan, ia meningkat 1.2 peratus selepas pelarasan musim. 

Dalam pada itu, bagi indeks volum, katanya, perdagangan borong dan runcit mengukuh 4.6 peratus tahun ke tahun, didorong terutamanya oleh perdagangan borong (5.9 peratus), perdagangan runcit (4.4 peratus), kenderaan bermotor (0.9 peratus), dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 2.8 peratus selepas pelarasan musim.

-- BERNAMA