BERITA TERKINI   Piala Malaysia: PDRM FC 1-0 Negeri Sembilan FC (Agregat 1-5) | Kerajaan Persekutuan akan terus buka ruang perbincangan secara harmoni dan saling hormat bersama Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah - PM Anwar | PM Anwar rakam penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah atas kerjasama erat zahir MA63 secara adil | Kerajaan MADANI paling giat, banyak selesaikan perkara berhubung MA63 hasil kesungguhan, muafakat semua pihak - PM Anwar | 

Ekspo Smart City Kuala Lumpur 2025 Fokus Empat Bidang Utama Bandar Pintar Berteraskan AI

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Ekspo Smart City Kuala Lumpur (SCEKL) 2025 yang akan berlangsung daripada 17-19 Sept, 2025 bakal memberi tumpuan kepada empat bidang utama, berteraskan tema “AI Cities: Shaping Our Digital Futures”.

Ketua Strategi Perusahaan Digital Nasional Bhd Prem Kumar Menon berkata tumpuan tersebut adalah bandar pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI), bandar mampan dan berdaya tahan, keusahawanan digital dan pembangunan ekonomi, serta pemerkasaan komuniti melalui penyelesaian digital.

"Kami ingin menunjukkan bagaimana aplikasi AI memainkan peranan penting lebih daripada sekadar bandar pintar dengan mengintegrasikan kepintaran ke dalam aplikasi atau penyelesaian yang diguna pakai oleh pihak berkuasa tempatan.

"Ini sekali gus memberi kuasa kepada rakyat dan memudahkan urusan harian mereka dengan lebih berkesan," katanya kepada Bernama selepas taklimat media berkaitan SCEKL 2025 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Prem Kumar yang juga ketua sekretariat  SCEKL 2025 berkata acara itu akan menumpukan kepada pembangunan usahawan dan inovasi tempatan yang sedia untuk dieksport.

“Kami sedang melihat potensi kerjasama rentas antara syarikat-syarikat ASEAN dan global.

“Di samping itu, kami mahu Malaysia menerajui penetapan piawaian, dengan bekerjasama rapat bersama negara-negara ASEAN dan lain-lain bagi membawa masuk penyelesaian pintar ini dan memanfaatkannya secara lebih efektif,” katanya.

SCEKL 2025 dijangka menarik kehadiran kira-kira 10,000 peserta dan 2,000 delegasi, dengan 300 pempamer dari negara-negara ASEAN mempamerkan penyelesaian teknologi praktikal untuk bandar yang mampan dari segi alam sekitar.

Dua acara lain turut dijalankan serentak dengan SCEKL 2025 iaitu Sidang Kemuncak Malaysia Digital Xceleration (MDX) 2025 dan Sidang Kemuncak SmartGov Malaysia 2025.

Sidang Kemuncak MDX dianjurkan bersama oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Jabatan Digital Negara.

Ia akan memberi tumpuan kepada lima bidang teras: Data Generasi Seterusnya, Pengkomputeran Generasi Seterusnya, Kepercayaan Generasi Seterusnya, Kreativiti Generasi Seterusnya, dan Bakat Generasi Seterusnya, yang  menunjukkan bagaimana inovasi teknologi dimanfaatkan Malaysia untuk perniagaan, perkhidmatan kerajaan, rakyat dan ekonomi serantau secara keseluruhan.

Sementara itu, Sidang Kemuncak SmartGov Malaysia 2025 yang bertemakan “GovTech for the Future – Innovating Public Service Delivery” bertujuan memperkukuh ekosistem teknologi kerajaan serta mempercepat penerapan digital dalam perkhidmatan awam.

Sidang kemuncak itu menampilkan tiga tonggak utama tadbir urus masa hadapan, iaitu AI untuk penyelesaian berorientasikan rakyat, Data Raya bagi membina kepercayaan dan ketelusan, serta Pengkomputeran Awan untuk perkhidmatan yang tangkas dan berdaya tahan.

-- BERNAMA