BERITA TERKINI   Kerajaan beri amaran kepada korporat, industri supaya hentikan aktiviti "channel switching" dan beli minyak pada harga pasaran atau berhadapan dengan tindakan - Amir Hamzah | APAD batal Lesen Pengendali syarikat pemandu treler, MFG Barokah Enterprise susulan kemalangan maut di Gemas Baharu, Johor korbankan tiga nyawa | Krisis Tenaga Global: Langkah kekalkan subsidi bersasar diesel pastikan sektor kritikal seperti nelayan, pengangkutan awam terus nikmati diesel pada kadar terkawal - Amir Hamzah | Krisis Tenaga Global: Kerajaan kini tanggung kos subsidi petrol dan diesel sebanyak RM6 bilion berbanding RM700 juta sebelum perang - Amir Hamzah | Krisis tenaga global: Bekalan minyak Malaysia lebih kukuh berbanding negara lain - Amir Hamzah | 

Kementerian Digital Bina Ekosistem Sokong Usaha Malaysia Jadi Negara AI 2030

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Kementerian Digital komited untuk membina sebuah ekosistem bagi menyokong usaha negara ke arah menjadi Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata kementerian mengambil langkah konkrit dengan memanfaatkan infrastruktur dan mengadaptasi teknologi bagi memastikan kesediaan negara dalam membangunkan sebuah negara AI.

“Apabila melibatkan pembinaan negara AI, kami mengambil langkah nyata yang menunjukkan komitmen kami untuk membina sebuah ekosistem.

“Hari ini, kita sudah melihat banyak industri yang menggunakan penyelesaian AI dalam operasi mereka. Lama-kelamaan, kita akan membangunkan dan mengadaptasi penyelesaian ini dengan lebih pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas melancarkan Sidang Kemuncak SmartGov Malaysia 2025 dan Sidang Kemuncak Malaysia Digital Xceleration (MDX) 2025 di sini hari ini.

Gobind juga berkata negara menjangkakan lebih banyak pelaburan dalam ekonomi digital selain bergerak ke hadapan bagi mencapai sumbangan 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025.

“Bagi ekonomi digital, sektor ini dijangka mencapai sumbangan 30 peratus kepada KDNK menjelang 2030.

“Saya percaya sasaran (25.5 peratus) boleh dicapai dan masih banyak kerja yang perlu dilakukan oleh kementerian, tetapi yakinlah, kami komited untuk merealisasikannya,” katanya.

Sementara itu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berkata Sidang Kemuncak MDX 2025 yang berlangsung serentak dengan Sidang Kemuncak SmartGOV Malaysia 2025, menonjolkan perjalanan kerajaan dalam menerapkan perubahan digital.

Dalam satu kenyataan hari ini, MDEC berkata sidang kemuncak berkenaan mempamerkan keupayaan Malaysia dalam memanfaatkan rangkaian 5G negara secara menyeluruh serta ekosistem Digital Malaysia (MD) yang lebih meluas.

Katanya, ini termasuk penyelesaian, bakat dan infrastruktur yang menegaskan komitmen negara terhadap keterangkuman, ketahanan dan kelestarian dalam ekonomi digital.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Anuar Fariz Fadzil memberitahu Sidang Kemuncak MDX 2025 bukan sekadar pameran teknologi sebaliknya merupakan platform untuk tindakan.

"Dengan menghubungkan inovator global, bakat tempatan, pelabur dan pembuat dasar, kami sedang membina kerjasama yang akan memacu ekonomi digital Malaysia ke hadapan.

“Bersama-sama dengan SmartGOV Malaysia dan Smart City Expo Kuala Lumpur 2025, MDX mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital dipercayai di ASEAN selain bersedia untuk menjadi pemangkin kepada masa depan yang bernilai trilion ringgit,” katanya.

-- BERNAMA