Jaya Grocer Labur Lebih RM100 Juta dalam Gudang Automatik Pertama Di Selangor
KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Jaya Grocer telah melabur lebih RM100 juta dalam gudang automatik baharu di Selangor yang memperkenalkan teknologi lebih pintar, langkah terbesarnya ke dalam automasi rantaian bekalan dan pertama seumpamanya dalam sektor peruncitan di Malaysia.
Jaya Grocer dalam satu kenyataan hari ini berkata gudang automatik itu bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan menerusi teknologi pintar dan peralatan data tetapi juga mewujudkan peluang baharu untuk rakyat Malaysia mengambil pekerjaan berkemahiran lebih tinggi, dipacu teknologi.
"Kemudahan baharu itu akan berperanan sebagai hab pengedaran pusat, memastikan kedai diisi stok semula dengan lebih pantas dan lebih cekap. Model ini menawarkan bekalan produk segar lebih dipercayai dan konsisten untuk pelanggan, pada masa sama turut menghasilkan kecekapan lebih baik untuk perniagaan itu," katanya.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pelaburan Jaya Grocer dalam gudang automatik baharu di Petaling Jaya mencerminkan landskap ekonomi negeri berkembang pesat dan persekitaran perniagaan yang mendapat sokongan, selaras dengan usaha memperkukuh ekonomi, memupuk penciptaan pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui teknologi.
"Kami percaya kemudahan ini bukan sahaja akan meningkatkan rantaian bekalan sektor runcit tetapi juga mewujudkan peranan pekerjaan berkemahiran, menunjukkan bagaimana inovasi boleh memberi manfaat secara langsung kepada komuniti kita", katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer Daniel Teng berkata pembukaan kemudahan baharu itu bukan hanya mengenai skala operasi, ia bertujuan membina hubungan lebih kukuh dengan pembekal tempatan, mewujudkan pekerjaan berkualiti untuk masyarakat dan memastikan rakyat Malaysia terus mendapat akses kepada produk segar dan berkualiti setiap hari.
"Ia menggariskan bagaimana masa depan peruncitan terletak pada pengukuhan rantaian bekalan dan meningkatkan kecekapan menerusi inovasi. Kami percaya ini adalah pelaburan untuk masa depan kami dan perkhidmatan kami dalam komuniti," katanya.
Jaya Grocer berkata keputusan untuk melabur dalam gudang baharu dan infrastruktur logistik termaju didorong oleh kemudahan semasanya yang mencapai kapasiti penuh.
Syarikat itu berkata pengembangan berkenaan akan membantu memenuhi permintaan pelanggan yang melonjak, memperkemas aliran kerja operasi dan memperkenalkan teknologi gudang sedia masa hadapan kepada komuniti tempatan.
Inisiatif itu juga menyokong matlamat kerajaan dalam mempertingkatkan kemahiran, ia mencerminkan strategi Jaya Grocer untuk meletakkan teknologi sebagai teras pertumbuhan jangka panjang dan pembangunan modal insan.
-- BERNAMA