Belanjawan 2026 Diharap Pacu Industri Perkapalan, Malaysia Sebagai Hab Maritim
KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) – Industri perkapalan Malaysia dijangka kekal positif dan berada dalam kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada daripada pelbagai usaha penyusunan dan penjajaran semula rantaian bekalan.
Keadaan itu disokong oleh faktor lokasi strategik di sepanjang Selat Melaka, kos tenaga yang kompetitif serta prasarana pelabuhan yang mantap.
Menjelang pengumuman Belanjawan 2026, Pengerusi Persatuan Perkapalan Malaysia (SAM) Ooi Lean Hin berkata pihak industri juga mengharapkan pelaksanaan pelbagai langkah memudah cara lebih kukuh bagi memastikan Malaysia mengekalkan momentum dalam pertumbuhan maritim.
Bidang perkapalan turut tersenarai di bawah agenda ekonomi biru kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menggariskan rancangan pemerolehan sebanyak 136 kapal yang dijangka menjana kira-kira 840,000 Muatan Kasar Berdaftar (GRT).
Ooi juga menyifatkan Malaysia menepati banyak kriteria dalam menarik kehadiran syarikat-syarikat yang berhasrat mencari alternatif kepada China ketika Amerika Syarikat (AS) mengurangkan kebergantungannya terhadap produk Beijing.
“China sebelum ini menyumbang kira-kira 70 peratus daripada import AS, namun telah susut sehingga kira-kira 50-55 peratus.
“Vietnam, Indonesia, Thailand serta Malaysia adalah antara negara-negara Asia Tenggara yang mendapat manfaat daripada penjajaran semula ini,” katanya dalam program The Nation Bernama TV, baru-baru ini.
Beliau berkata pada masa sama, kedudukan Malaysia diperkukuhkan oleh strategi serta inisiatif oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi menarik pelabur dengan jumlah pengendalian kontena kini separuh daripada angka yang diuruskan oleh Singapura.
“Ini merupakan satu pencapaian besar, sekali gus memaparkan kepentingan Malaysia yang kian ketara dalam aliran perdagangan serantau,” katanya.
Ooi berkata momentum positif itu juga diterjemah dalam bentuk aliran pergerakan kargo yang lebih besar merentasi kawasan pedalaman dengan pertumbuhan kira-kira 11 peratus setahun.
Bagi Malaysia, jangka masa pasca COVID dipacu oleh aktiviti perkapalan yang lebih ketara dengan pertumbuhan kargo didorong oleh pemulihan permintaan serta usaha syarikat-syarikat yang mahu mempelbagaikan rantaian bekalan.
Trend positif sektor perkapalan Malaysia itu juga menepati kemajuan dalam industri global yang diasak pelbagai kejutan sejak 2020.
“COVID-19 telah mencetuskan gangguan besar terhadap rantaian bekalan. Isu seperti kesesakan pelabuhan, gudang yang penuh serta kekurangan peralatan berkaitan hanya mendorong masalah kekurangan kapasiti perkapalan yang serius.
“Keadaan itu menyebabkan kadar tambang meningkat selain mendorong pendapatan luar jangka bagi syarikat-syarikat perkapalan,” katanya.
Ooi berkata ketegangan geopolitik turut mengubah landskap perkapalan global.
“Perang Rusia-Ukraine dan keadaan di Gaza mencetuskan krisis Laut Merah apabila kumpulan Houthi menyerang kapal-kapal yang melintasi Terusan Suez. Banyak kapal yang terpaksa mengubah haluan melalui Tanjung Harapan dan mengurangkan kapasiti serta menyebabkan permintaan melebihi penawaran. Akibatnya, syarikat perkapalan terus mencatat keuntungan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata bagi tempoh 2021-2025, segmen kapal kontena khususnya, mencatat lima tahun yang kukuh.
Namun, pada masa sama, beliau mengingatkan elemen ketidaktentuan masih wujud, khususnya daripada perang perdagangan dan tarif yang bermula sejak 2018 dan terus melakar semula rantaian bekalan global.
Tidak kurang pentingnya, isu-isu sambungan atau perjalanan terakhir ke destinasi akhir pengguna boleh menjejaskan pertumbuhan jangka panjang.
“Pergerakan kargo dari kawasan pedalaman berkembang sebanyak 10 hingga 11 peratus setahun dan jumlahnya akan berganda dalam tempoh enam hingga tujuh tahun. Malangnya, infrastruktur jalan raya ke pelabuhan pula menyaksikan pertumbuhan yang tidak seiring.
“Jika sebelum ini, pengendali lori mampu melakukan sehingga empat perjalanan sehari, namun kini sebaliknya bergelut dalam menyempurnakan dua, malah berisiko melengkapkan hanya satu perjalanan jika kesesakan semakin buruk,” katanya.
Ooi berkata walaupun insentif bagi pergerakan kaargo malam dilihat sebagai membantu, ini masih tidak mencukupi untuk mengatasi isu berkaitan.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar lebih banyak pelaburan menumpukan pembangunan lebuh raa dan akses pelabuhan bagi memastikan kelangsungan daya saing Malaysia dalam perkapalan serantau.
“Perkapalan menyumbang lebih daripada 80 peratus pengangkutan perdagangan. Menerusi pelabuhan yang mantap dan sektor maritim yang kompetitif, Malaysia mampu memastikan pertumbuhan yang mampan selain dapat mengukuhkan lagi peranannya sebagai hab maritim serantau,” katanya.
– BERNAMA