BERITA TERKINI   Liga Super: PDRM FC 3-1 Kelantan TRW FC | 

Ringgit Susut Berbanding Dolar AS Apabila Pasaran Kaji Semula Prospek Kadar Faedah AS

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Ringgit menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ditutup pada Khamis apabila pelabur menilai semula prospek kadar faedah AS susulan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS pada Rabu, kata seorang pakar ekonomi.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu berada pada 4.1945/1995 berbanding dolar AS, merosot daripada 4.1860/1900 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan itu menyaksikan sedikit pembetulan teknikal berikutan beberapa kesan ketidaktentuan terhadap unjuran kadar faedah AS, walaupun Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS mengurangkan kadar utamanya sebanyak 25 mata asas malam tadi. Kadar pinjaman penanda aras AS kini berjulat antara 4.0 dan 4.25 peratus. 

“Jelas sekali, kadar terukur yang diterima pakai oleh Fed untuk melonggarkan dasar monetarinya menunjukkan bahawa mereka masih mengambil berat mengenai inflasi, walaupun mereka juga mengakui bahawa pasaran buruh telah melemah,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama. 

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding yen kepada 2.8484/8520 daripada 2.8607/8636 ketika ditutup pada Rabu, berkurang berbanding pound Britain kepada 5.7238/7306 daripada 5.7131/7185 dan menurun berbanding euro kepada  4.9654/9714 daripada 4.9583/9631 sebelumnya. 

Berbanding mata wang ASEAN, mata wang tempatan ditutup bercampur-campur.

Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 253.7/254.2 daripada 254.6/255.0 ketika ditutup pada Rabu dan menokok berbanding peso Filipina kepada 7.35/7.36 daripada 7.36/7.37. Bagaimanapun, ia merosot berbanding baht Thailand kepada 13.1903/2114 daripada 13.1892/2081 semalam dan menurun kepada 3.2800/2842 berbanding dolar Singapura daripada 3.2793/2827.

-- BERNAMA