BERITA TERKINI   ACC 2025/2026: JDT tundukkan Bangkok United FC 4-0 | Perdagangan barangan dua hala ASEAN-EU berjumlah US$292.8 bilion pada 2024, aliran masuk FDI dari EU ke ASEAN berjumlah US$20 bilion pada tahun yang sama - kenyataan bersama | Program Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-EU akan mengukuhkan lagi perkongsian ekonomi strategik - kenyataan bersama | Malaysia menanti kehadiran Presiden Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini, perkukuh kerjasama, kestabilan serantau - PM Anwar | Malaysia selaku Pengerusi ASEAN terus main peranan proaktif pastikan keamanan serantau, khususnya isu Kemboja-Thailand - PM Anwar | 

Platform Digital Kunci Pertumbuhan Syarikat Pemula Niaga

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Platform digital merupakan elemen utama bagi perniagaan syarikat pemula niaga bagi membina daya tahan selain memacu pertumbuhan mampan, menurut para pemain industri.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Durioo Sdn Bhd Sinan Ismail berkata platform digital boleh berperanan sebagai alat penyelidikan bagi syarikat pemula niaga selain membantu mereka memahami audiens sasaran mereka.

“Dengan menggunakan platform digital, perniagaan harus meluangkan masa untuk mempelajari perjalanan pelanggan dan corong digital. Baca penyelidikan, tonton video dan ikuti pakar di LinkedIn, TikTok serta YouTube.

“Lebih banyak anda memahami perjalanan penuh daripada kesedaran kepada peralihan, lebih banyak anda boleh mereka bentuk titik sentuh yang bermakna untuk pelanggan anda,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi Knowledge Hub Power Talk bertajuk 'Membangunkan Pertumbuhan Perniagaan Berdaya Tahan Menerusi Penjenamaan dan Platform Digital' yang diadakan bersempena dengan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025.

Power Talk merupakan tambahan baharu kepada program Knowledge Hub yang menampilkan penceramah utama seperti pengasas Grey Cafe, Sid Murshid dan Pengasas Bersama serta Ketua Pegawai Operasi Zus Coffee, Venon Tian.

Sinan berkata syarikat pemula niaga juga harus memanfaatkan strategi ‘other people traffic’ (OPT) apabila perniagaan boleh bekerjasama dengan jenama atau individu yang sudah mempunyai bilangan pengikut yang ramai.

“Saya percaya OPT merupakan sesuatu yang setiap syarikat pemula niaga harus terokai. Luangkan masa untuk mengenal pasti siapa ‘other people’ ini, fahami saluran mana yang paling sesuai untuk audiens anda dan beri tumpuan untuk membina hubungan yang kukuh dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, Tian berkata platform digital juga membantu perniagaan mengumpul data yang memainkan peranan penting dalam mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Bagi Zus Coffee, data memainkan peranan besar dalam perniagaan kami. Aplikasi kami merupakan saluran utama kerana ia membolehkan kami mengumpul data yang mencukupi untuk mengenal pasti dan memahami pelanggan paling setia.

“Selain aplikasi, platform digital lain menyediakan pelbagai jenis data, malah kewujudan runcit kami turut menyumbang kepada maklumat berharga. Kami menggabungkan data-data ini untuk membimbing proses membuat keputusan,” katanya.

Mengenai pembangunan kesedaran jenama, Tian menekankan keperluan perniagaan untuk memberi tumpuan kepada cara yang cekap kos untuk berkembang dan bukannya memilih pemasaran yang mahal.

“Apabila Zus Coffee bermula pada 2019, kami tidak membelanjakan wang untuk papan iklan atau iklan luar kerana kami tidak dapat mengesan pulangan secara berkesan. Sebaliknya, kami memberi tumpuan kepada strategi yang cekap kos dan boleh diukur untuk berkembang.

“Kini, selepas empat hingga lima tahun berkembang sebagai sebuah syarikat, kami mula melabur dalam usaha membina jenama seperti papan iklan besar dan kempen besar. Inisiatif ini kurang bertumpu kepada peralihan segera dan lebih kepada membina kepercayaan jenama jangka panjang serta keterlihatan,” tambahnya.

Sementara itu, Sid pula berkongsi platform digital yang menjadi tonggak penting dalam perjalanan beliau sebagai pemilik perniagaan dan pencipta kandungan selain menekankan kepentingan memanusiakan proses penciptaan kandungan.

Beliau berkata satu daripada kesilapan paling biasa yang dilakukan perniagaan terutamanya dalam industri makanan iaitu takut untuk berani atau keluar daripada skrip.

“Banyak jenama berasa terbatas, tetapi orang lebih mudah terhubung dengan keaslian daripada kesempurnaan. Mereka mahu melihat produk digunakan dalam kehidupan sebenar.

“Pada akhirnya, saya rasa kesilapan terbesar iaitu takut untuk bercakap secara manusiawi. Setiap perniagaan, tidak kira apa yang dijual pada akhirnya menjual kepada manusia, bukan kepada komputer,” tambah Sid.

-- BERNAMA