BERITA TERKINI   Pemulihan aset 1MDB cecah RM31.2 bilion setakat ini, iaitu 70 peratus daripada keseluruhan aset yang telah dikenal pasti - SPRM | 1MDB: Empat karya seni bernilai USD198,125 telah dibawa pulang ke Malaysia - SPRM  | Krisis tenaga global: Kadar Bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dinaikkan kepada RM400 sebulan berbanding RM300 bagi April 2026 - Akmal Nasrullah | Krisis tenaga global:Kadar bantuan tunai BUDI Diesel Individu dinaikkan kepada RM400 sebulan berbanding RM300 bagi April 2026 - Akmal Nasrullah | Kerajaan setuju tingkatkan adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12, tanpa kos tambahan menggunakan infrastruktur sedia ada - Akmal Nasrullah | 

TIV Sektor Automotif Naik 4.2 Peratus Pada Ogos 2025

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Jumlah keseluruhan industri (TIV) sektor automotif Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 4.2 peratus kepada 73,041 unit pada Ogos daripada 70,101 unit pada Julai, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA). 

MAA dalam satu kenyataan hari ini berkata TIV yang lebih tinggi disokong oleh ketersediaan stok yang lebih baik berikutan jumlah pengeluaran lebih tinggi pada Julai iaitu sebanyak 71,439 unit, promosi yang agresif bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan, dan kesan jualan daripada pelancaran model baharu.

Bagaimanapun, MAA berkata TIV tahun hingga kini (YTD) merosot empat peratus kepada 516,862 unit berbanding 537,532 unit bagi tempoh yang sama pada 2024. 

Pada asas tahun ke tahun, TIV Ogos 2025 susut satu peratus kepada 73,041 unit berbanding 72,580 unit pada Ogos tahun lepas, terdiri daripada 67,302 kenderaan penumpang dan 5,739 kenderaan komersial. 

Bagi pengeluaran pula, sebanyak 69,111 unit dikeluarkan berbanding 74,556 unit pada tahun sebelumnya, terdiri daripada 65,153 kenderaan penumpang dan 3,958 kenderaan komersial.

MAA berkata momentum jualan pada September 2025 dijangka akan disatukan susulan jumlah hari bekerja yang lebih sedikit, dengan empat cuti umum sepanjang bulan itu. 

Katanya, prestasi pada September juga akan dipengaruhi oleh pendirian ‘tunggu dan lihat’ menjelang pengumuman Belanjawan 2026, termasuk butiran mengenai rasionalisasi subsidi petrol.

-- BERNAMA