BERITA TERKINI   Liga Super: PDRM FC 3-1 Kelantan TRW FC | Liga Super: Imigresen FC 1-1 Negeri Sembilan FC | Malaysia secara rasmi menyerahkan jawatan Presiden AIPA kepada Filipina | 

Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan Berhati-hati Minggu Depan

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan secara berhati-hati pada minggu depan susulan penurunan kadar faedah baru-baru ini oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed).

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata emas mungkin berada dalam mod konsolidasi pada minggu depan tetapi sebarang tanda baharu kelemahan dolar yang dicetuskan oleh retorik pendirian yang lebih pasif Fed berkemungkinan menyebabkan logam tersebut melonjak semula.

"Pasaran masih percaya iaitu Fed cenderung kepada pendekatan pendirian yang lebih pasif dalam jangka sederhana. Kami terus melihat pembeli mengambil peluang ketika harga emas menurun," katanya kepada Bernama.

Bagi asas mingguan, kontrak bulan semerta bagi September 2025 meningkat kepada US$3,660.20 setiap auns troy daripada US$3,653.60 sebelumnya.

Kontrak Oktober 2025 mengukuh kepada US$3,676.60 setiap auns troy daripada US$3,670.90 pada minggu sebelumnya manakala kontrak November 2025 naik kepada US$3,693.40 setiap auns troy daripada US$3,687.70 sebelumnya.

Kontrak Disember 2025, Februari 2026, April 2026 dan Jun 2026 semuanya ditutup lebih tinggi pada US$3,714.30 setiap auns troy daripada US$3,709.10 setiap auns troy sebelumnya.

Jumlah dagangan mingguan menokok kepada 1,388 lot daripada 1,348 lot pada minggu lepas manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 807 kontrak daripada 361 kontrak sebelumnya.

Emas fizikal berada pada paras US$3,643.70 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association (LBMA) pada 18 Sept, 2025.

-- BERNAMA