BERITA TERKINI   Kerajaan MADANI sedia kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion bagi 2026, dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro, dengan pinjaman sehingga RM100,000 - MoF | Seorang lelaki maut diserang sekumpulan gajah liar di Gua Musang hari ini - Polis | Pengembangan berterusan portfolio pinjaman dan deposit tingkatkan untung bersih Public Bank kepada RM1.75 bilion pada suku pertama 2026 daripada RM1.74 bilion suku pertama 2025 | KPT struktur semula 36 politeknik, tawar pengajian peringkat Ijazah dan Sarjana selari keperluan industri berteknologi tinggi - Zambry | 

PM Anwar Terima Kunjungan Hormat Delegasi Majlis Perniagaan Amerika Syarikat- ASEAN

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu menerima kunjungan hormat daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (USABC), Duta (Bersara) Brian McFeeters serta delegasi bersempena dengan Misi Perniagaan Malaysia 2026.

Menerusi catatan di laman X, Anwar berkata pertemuan itu membuka ruang kepada perbincangan mengenai potensi memperkukuh pelaburan dan kerjasama strategik merentas pelbagai sektor antara Amerika Syarikat (AS) dan ASEAN, khususnya Malaysia.

"Saya tegaskan bahawa Malaysia terus mempertingkat daya saing negara melalui kerangka ekonomi yang jelas seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Rangka Kerja Insentif Baharu (NIF) yang lebih bersasar dan berasaskan hasil," kata beliau.

Anwar berkata usaha itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kemampanan, daya tahan ekonomi dan penaiktarafan industri negara, di samping memastikan pelaburan berkualiti terus memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negara.

Semalam, Bernama melaporkan kira-kira 22 firma dari AS menyertai misi pelaburan di Malaysia bagi meninjau peluang pelaburan merentas pelbagai sektor dan menjadi usaha memperkukuh perniagaan dengan ASEAN yang berpotensi muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia menjelang akhir dekad ini.

McFeeters dilaporkan berkata delegasi beliau terdiri daripada firma merangkumi kecerdasan buatan (AI), tenaga, perkhidmatan kewangan dan insurans.

-- BERNAMA