Harga MSM Dijangka Diniagkan Antara RM4,200 Dan RM4,500 Tan Metrik - MPOC
KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka diniagakan antara RM4,200 dan RM4,500 satu tan metrik dalam beberapa minggu akan datang, disokong oleh bekalan boleh eksport lebih terhad dan sentimen positif dalam pasaran minyak sayuran, kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
MPOC dalam satu kenyataan hari ini berkata pengeluaran minyak sawit dijangka akan terjejas disebabkan cuaca pada November, stok turut diunjurkan merosot selepas musim puncak pada Oktober.
"Peningkatan itu dihadkan oleh permintaan yang lemah daripada pasaran utama, manakala sokongan datang daripada ketidaktentuan dalam bekalan boleh eksport terutamanya minyak sawit dari Indonesia dan minyak kacang soya dari Amerika Syarikat dan Brazil disebabkan dasar biodiesel (mandat bidiesel lebih tinggi)," katanya.
Harga minyak mentah telah stabil pada kira-kira US$60 setong dan berpotensi mencatatkan peningkatan yang mungkin akan memberikan sokongan selanjutnya kepada minyak sayuran.
MPOC berkata pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 43,000 tan, atau 2.4 peratus, bulan ke bulan kepada 1.85 juta tan pada Ogos, dipacu oleh pengeluaran yang lebih tinggi di Sabah dan Sarawak, manakala Semenanjung Malaysia mencatatkan penurunan selepas musim puncak pada Julai.
Eksport pada Ogos secara amnya tidak berubah daripada Julai pada 1.32 juta tan dengan penghantaran lebih tinggi ke Asia-Pasifik, Sub-Sahara Afrika, Kesatuan Eropah (EU), Afrika Utara dan Timur Tengah, diimbangi oleh eksport lebih rendah ke Amerika dan Asia Selatan.
Menerusi pengeluaran yang lebih tinggi dan eksport yang stabil, inventori minyak sawit meningkat kepada 2.20 juta tan pada Ogos, paras tertinggi sejak Januari 2024.
“Walaupun peningkatan baru-baru ini, stok minyak sawit Malaysia kekal terurus, masih jauh berbanding paras pada 2018 hingga 2019 iaitu 2.5 hingga 2.7 juta tan,” kata MPOC.
Menurutnya, minyak sawit adalah peneraju harga untuk minyak sayuran pada suku ketiga, meningkat 10.9 peratus suku ke suku, berbanding dengan keuntungan 5.1 peratus dalam minyak bunga matahari dan 3.8 peratus bagi minyak kacang soya, manakala minyak biji sesawi turun 0.7 peratus selepas China mengenakan duti import 75.8 peratus ke atas Kanada.
"Walaupun prestasi bercampur-campur, sentimen di seluruh pasaran minyak sayuran yang lebih luas kekal positif dengan momentum dijangka berterusan ke suku keempat," katanya.
Melangkah ke depan, MPOC menjangkakan penggunaan minyak sawit, kacang soya, bunga matahari dan biji sesawi pada 2026 akan mengatasi pertumbuhan pengeluaran, mengakibatkan defisit bekalan yang sederhana.
Mengenai negara pengimport, MPOC berkata stok minyak sayuran India meningkat 41 peratus kepada 1.86 juta tan pada Ogos daripada 1.33 juta tan pada Mei, manakala inventori China meningkat 21 peratus tahun ke tahun kepada 2.4 juta tan termasuk kira-kira 646,000 tan pada pertengahan September.
-- BERNAMA