BERITA TERKINI   Kerajaan tidak hadkan pembelian RON95 sekali sehari - Kementerian Kewangan | Kerajaan tidak bercadang untuk hadkan pembelian RON95 sekali sehari - Kementerian Kewangan | ASEAN berharap permeteraian ATIGA, FTA ASEAN-China, dan DEFA serta Perjanjian Inklusi Perdagangan ASEAN-India yang dimuktamadkan pada Okt, akan membantu meningkatkan perdagangan dalam rantau ini - Tengku Zafrul | ATIGA dan DEFA yang dinaik taraf akan tangani halangan bukan tarif utama merentasi ASEAN - Tengku Zafrul | Penjimatan daripada pelaksanaan BUDI95 akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat - MOF | 

Perkongsian Ekonomi Korea Selatan-ASEAN Perlu Diperluas, Langkau Kerangka Tradisional

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Kalangan pakar menggesa agar perkongsian ekonomi ASEAN dengan Korea Selatan yang menjadi rakan dialog blok itu pada 1991, diperluas dan melangkaui kerangka tradisional dalam senario realiti geopolitik dan ekonomi masa kini, termasuk membabitkan aspek keselamatan serta kestabilan jangka panjang.

Pengerusi CARI ASEAN Research and Advocacy Tan Sri Dr Munir Majid berkata ASEAN dan Korea juga perlu “berfikir di luar kebiasaan” berikutan anjakan penjajaran global serta hubungan saling kebergantungan ekonomi yang kian rumit.

Korea Selatan juga dalam kapasitinya sebagai antara rakan dialog ASEAN, tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada pakatan tradisional seperti Amerika Syarikat, dalam suasana ketidaktentuan dinamik kuasa global yang terus ketara.

Sehubungan itu, beliau berkata ini memerlukan usaha untuk meneroka dan membincangkan pendekatan baharu, khususnya menerusi platform Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung di sini.

“Ini bukan sesuatu yang biasa. Jika ASEAN dan Korea Selatan mahu kekal relevan, kesemua pihak ini perlu berkembang secara bersama.

“Jika dinamik ketegangan antara Korea Selatan, China dan Jepun ini tidak ditangani, hubungan ASEAN-Asia Timur Laut yang lebih luas akan terdedah kepada ketidaktentuan luaran,” katanya dalam temu bual bersama Bernama menjelang mesyuarat AEM berkenaan.

Sementara itu, berkongsi nada sama, Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Kajian Media dan Perang Maklumat Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata penglibatan Korea Selatan dengan ASEAN harus melangkaui ekonomi bagi menyokong pembangunan terangkum selain kestabilan strategik jangka panjang.

“Korea Selatan mesti menyokong ASEAN, tidak hanya dalam aspek perdagangan, tetapi juga dalam usaha membantu kumpulan rentan menerusi pendidikan, perkongsian ilmu dan keterjaminan kesihatan.

“Ini selaras dengan dasar ASEAN yang tidak menyisihkan dan memastikan tiada negara anggota yang ketinggalan,” katanya.

Noor Nirwandy juga mengingatkan perkongsian ASEAN ini harus dibangunkan tanpa menjejaskan autonomi rantau ini.

“Sebarang kerjasama yang diperluaskan mesti menghormati peranan ASEAN sebagai blok kuasa pertengahan. Kerangka ASEAN perlu kekal sebagai platform utama bagi pelaksanaannya,” katanya.

Kerangka Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP), diketengahkan sebagai bidang utama bagi sinergi dengan Korea Selatan boleh menyumbang kepada mekanisme diterajui ASEAN yang menggalakkan keamanan, menegakkan undang-undang serta membangunkan daya tahan bersama.

Melangkaui isu geopolitik, kedua-dua penganalisis ini turut menekankan keselamatan siber, kepercayaan digital dan ketahanan maklumat sebagai tonggak kerjasama baharu.

Noor Nirwandy turut mencadangkan agar diwujudkan usaha kerjasama dalam literasi media, perlindungan data dan latihan keselamatan siber bagi memperkukuh ketahanan digital di seluruh rantau berkenaan.

“Inilah bidang yang mana kerjasama ASEAN–Korea Selatan dapat menjadi peneraju di peringkat global, bukan sekadar menjadi pengikut. Ketahanan digital bersama misalnya dapat menentukan keselamatan ekonomi pada masa depan,” katanya.

Memandangkan ASEAN dan Korea Selatan dijangka mengeluarkan kenyataan bersama minggu ini, kedua-dua penganalisis itu turut menggesa agar rakan dialog itu bertindak dengan bergerak melangkaui diplomasi dirancang atau formal semata-mata, sebaliknya memberi respons terhadap pelbagai realiti baharu masa kini.

-- BERNAMA