BERITA TERKINI   Kerajaan tidak hadkan pembelian RON95 sekali sehari - Kementerian Kewangan | Kerajaan tidak bercadang untuk hadkan pembelian RON95 sekali sehari - Kementerian Kewangan | ASEAN berharap permeteraian ATIGA, FTA ASEAN-China, dan DEFA serta Perjanjian Inklusi Perdagangan ASEAN-India yang dimuktamadkan pada Okt, akan membantu meningkatkan perdagangan dalam rantau ini - Tengku Zafrul | ATIGA dan DEFA yang dinaik taraf akan tangani halangan bukan tarif utama merentasi ASEAN - Tengku Zafrul | Penjimatan daripada pelaksanaan BUDI95 akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat - MOF | 

Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari, Didorong Pembelian Saham Wajaran Tinggi

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia tinggi semasa tengah hari pada Selasa, didorong oleh pembelian ke atas saham berwajaran tinggi terpilih, terutama dalam sektor produk dan perkhidmatan pengguna serta utiliti.

Sime Darby meningkat 7.0 sen kepada RM2.17, QL Resources menambah 9.0 sen kepada RM4.39, manakala Petronas Gas melonjak 16 sen kepada RM18.46 justeru, secara kolektif ketiga-tiganya menyumbang 1.95 mata kepada Indeks Komposit.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.59 mata kepada 1,603.93 daripada 1,603.34 ketika ditutup semalam.

Indeks utama itu dibuka pada 1,604.90 dan bergerak antara 1,602.03 hingga 1,608.49 sepanjang dagangan sesi pagi.

Pasaran secara keseluruhannya positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 465 berbanding 413 manakala 483 kaunter tidak berubah, 1,283 kaunter tidak diniagakan, dan 37 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 2.08 bilion unit bernilai RM1.15 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup tinggi, dengan indeks S&P 500 mencatatkan paras tinggi baharu, dipacu oleh laporan mengenai kerjasama Nvidia Corp dengan OpenAI.

Beliau berkata Wall Street merekodkan prestasi itu walaupun wujud kebimbangan terhadap kemungkinan penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) ekoran tuntutan penjagaan kesihatan oleh Parti Demokrat.

“Sentimen juga berubah menjadi lebih berhati-hati kerana panggilan telefon yang dinanti-nantikan antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping hanya memberikan sedikit dorongan atau kejelasan kecil kepada kalangan pelabur,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat domestik, beliau menjangkakan indeks bergerak dalam julat antara 1,600 hingga 1,610 susulan ketiadaan pemangkin yang kuat.

Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd pula minat pembelian asing yang pulih (setakat September tahun ini: +RM511 juta berbanding Ogos 2025: -RM3.43 bilion), ditambah dengan optimisme terhadap pelan rasionalisasi subsidi RON95 dan jangkaan Belanjawan 2026 yang propertumbuhan pada 10 Oktober, menyokong unjuran positif terhadap FBM KLCI.

“Kami menjangkakan ujian semula zon rintangan pada paras 1,612 hingga 1,625 hingga 1,640 pada suku keempat 2025 selepas mengalami fasa yang tidak banyak berubah.

“Sebarang penurunan, pada pandangan kami, membuka peluang pengumpulan secara taktikal ketika pelabur membuat penyesuaian untuk baki tahun ini,” menurutnya dalam nota penyelidikan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank naik 10 sen kepada RM4.28, Axiata dan Press Metal Aluminium masing-masing meningkat 2.0 sen kepada RM2.65 dan RM5.69. SD Guthrie susut 6.0 sen kepada RM5.24, manakala Mr D.I.Y. turun 3.0 sen kepada RM1.57.

Bagi saham aktif, JS Solar yang baru disenaraikan di Pasaran ACE menambah 9.0 sen kepada 40 sen, XOX Technology naik 3.5 sen kepada 7.0 sen, NexG dan SFP Tech masing-masing meningkat 1.5 sen kepada 51.5 sen dan 17.5 sen, manakala Pharmaniaga menokok 1.0 sen kepada 27 sen.

Kaunter paling untung termasuk KESM Industries yang melonjak 31 sen kepada RM3.69, PJBumi meningkat 21 sen kepada RM2.43, Apollo Food menambah 20 sen kepada RM6.60, Malaysian Pacific Industries naik 16 sen kepada RM29.44, dan Lianson Fleet menambah 11 sen kepada RM1.94.

Antara kaunter paling rugi, United Plantations susut 50 sen kepada RM23.04, Nestle turun 24 sen kepada RM96.26, BLD Plantation menguncup 10 sen kepada 28.5 sen, Dutch Lady Milk Industries turun 10 sen kepada RM27.08, dan Petronas Dagangan kurang 8.0 sen kepada RM22.22.

Bagi pasaran yang lebih luas, Indeks FBM Emas naik 16.07 mata kepada 11,942.57, Indeks FBMT 100 meningkat 11.93 mata kepada 11,688.54, Indeks FBM ACE menambah 6.63 mata kepada 4,980.53, Indeks FBM 70 melonjak 50.40 mata kepada 16,801.51, dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 20.13 mata kepada 11,992.08.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 6.37 mata kepada 18,096.57, Indeks Tenaga menokok 6.30 mata kepada 765.67, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.39 mata kepada 169.57, manakala Indeks Perladangan susut 53.04 mata kepada 7,714.84.

-- BERNAMA